UPM lancar sistem ‘Putra Buddies’ bantu pelajar OKU | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UPM lancar sistem ‘Putra Buddies’ bantu pelajar OKU

Prof. Dato’ Dr. Mohd. Roslan Sulaiman (tengah) menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada pelajar OKU ketika Program Iftar Mega Putra 2.0 di Dataran Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM.

SERDANG 27 April - Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan sistem 'Putra Buddies' untuk membantu pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) menjalani aktiviti harian mereka sebagai menyokong Dasar Inklusif OKU UPM.

 

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, sukarelawan UPM yang berdaftar melalui Putra Buddies akan menjadi pemudahcara dan memberi bantuan serta sokongan sewajarnya mengikut keperluan pelajar OKU serta ketidakupayaan mereka.

 

“Kami mengalu-alukan pelajar UPM ingin membantu pelajar OKU agar mendaftar di dalam sistem Putra Buddies terlebih dahulu untuk menghulurkan bantuan mengikut kaedah dan cara yang betul.

 

“Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU UPM di Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa OKU dan Majlis Perwakilan Pelajar akan membantu mengenalpasti 57 orang pelajar OKU yang memerlukan khidmat Putra Buddies,“ katanya yang juga merupakan penaung Putra Buddies.

 

Presiden Persatuan Mahasiswa OKU UPM, Faisal Ahmad Raju berkata, pelancaran Persatuan Mahasiswa OKU UPM akan menjadi titik tolak suara pelajar OKU yang mana persatuan itu akan membantu Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU di Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar dalam melaksanakan aktiviti, kebajikan serta sokongan kepada pelajar OKU. 

 

“Persatuan ini baru didaftarkan di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar pada tahun ini sejak penubuhannya pada tahun 2017 dengan misi untuk memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan pelajar OKU,” katanya. 

 

Terdahulu, Putra Buddies dan persatuan tersebut dilancarkan Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd. Roslan Sulaiman semasa Program Iftar Mega Putra 2.0 di Dataran Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, baru-baru ini. 

 

Turut hadir, Pengerusi Putra Buddies dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Nuruliman Ibrahim.

 

 

upm
Prof. Dr. Arifin Abdu

 

 

upm

 

 

upm

 

 

upm

 

 

Seramai 2,000 pelajar terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama termasuk pelajar antarabangsa telah menyertai program tersebut untuk merasai suasana berbuka yang disediakan percuma di bulan Ramadan secara terbuka di padang rumput.

 

Program tersebut dianjurkan oleh entiti di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan Pelajar Antarabangsa UPM (UPMISA), Sahabat Masjid UPM dan Kelab Huffaz UPM.

 

Suasana iftar turut dimeriahkan dengan Tahsin Al-Fatihah oleh Geng Ngaji Global, UPM Berselawat dan bacaan ayat suci Al-Quran. - DagangNews.com