UPM anjur pameran kerjaya untuk tingkatkan kebolehpasaran graduan dalam sektor pertanian | DagangNews Skip to main content

UPM anjur pameran kerjaya untuk tingkatkan kebolehpasaran graduan dalam sektor pertanian

Para pelajar Fakulti Pertanian UPM mengunjungi gerai pameran bagi mendapatkan informasi bidang pertanian pada Pameran Kerjaya Pertanian 2023.

KUALA LUMPUR 15 Mei - Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Fakulti Pertanian (PERMATANI) menganjurkan Pameran Kerjaya Pertanian 2023 (ACF2023) bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam sektor pertanian.

 

Pengarah program tersebut, Nik Zaini Peei berkata, program itu bertujuan mempersiapkan para pelajar untuk memilih bidang kerjaya masa hadapan setelah tamat pengajian. 

 

Katanya, mahasiswa turut berpeluang mencari penempatan menjalani latihan industri yang akan dilaksanakan pada semester terakhir pengajian sebelum memulakan kerjaya di industri.

 

"Melalui kerjasama strategik bersama rakan industri, ia akan memberi pendedahan serta mempersiapkan para pelajar untuk lebih holistik dan mempunyai daya saing setelah menempuh alam kerjaya kelak," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pameran ACF 2023 yang bertemakan ‘Leaders Grow Here’ turut melibatkan tujuh syarikat daripada bidang pertanian merangkumi Akuakultur, Perladangan, Hortikultur, Ternakan dan Pusat Belia Antarabangsa Kuala Lumpur.

 

Timbalan Presiden PERMATANI, Muhammad Alfaris Yulfendi pula berkata, pameran kerjaya sebegini amat penting bagi pelajar kerana berpeluang mengenali syarikat serta membantu pelajar untuk memilih laluan kerjaya.

 

"Melalui pameran ini pelajar secara langsung boleh mendapatkan informasi kerjaya terus daripada syarikat berkenaan yang boleh dimanfaatkan untuk mencakupi kerjaya sektor pertanian negara," katanya.

 

 

upm
Nik Zaini Peei (kanan) bersama Ketua Jualan dan Produk Ino Nature Sdn Bhd, Liew Chee Wah pada program Pameran Kerjaya Pertanian 2023.

 

 

upm

 

 

upm

 

 

Antara syarikat menyertai program itu, termasuk PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd, Top Fruits Sdn Bhd, INO Nature Sdn Bhd, Pusat Belia Antarabangsa, Genting Plantations Bhd, Behn Meyer AgriCare (M) Sdn Bhd, Idea Company Sdn Bhd dan Dr Aquascape UPM. - DagangNews.com