KUALA LUMPUR 10 Mei - UOB Malaysia mencatat peningkatan 12.2% dalam keuntungan bersih kepada RM1.14 bilion pada 2021 berikutan pendapatan operasi yang lebih tinggi dan jumlah peruntukan jangkaan kerugian kredit yang lebih rendah.
Jumlah pendapatan operasi UOB Malaysia meningkat 4.3% kepada RM3.35 bilion, bersandarkan pendapatan faedah bersih yang lebih kukuh dan pendapatan bersih yang lebih tinggi daripada perniagaan Perbankan Islam.
Sementara itu, jumlah peruntukan jangkaan kerugian kredit ialah 17.7% atau RM103.2 juta lebih
rendah berbanding tahun sebelumnya.
Penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan jangkaan kerugian kredit yang lebih rendah ke atas pinjaman, pendahuluan, pembiayaan dan aset kewangan lain untuk aset tidak terjejas.
Selain menguruskan perbelanjaan secara berhemat, UOB Malaysia terus melabur dalam infrastruktur teknologi pada 2021 dalam usaha menyokong pertumbuhan perniagaan.
Ini telah membawa kepada peningkatan 5.7% dalam jumlah perbelanjaan operasi kepada RM1.36 bilion.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, meskipun berada dalam persekitaran operasi yang tidak menentu pada tahun lalu, bank telah mempamerkan prestasi yang membanggakan, dengan peningkatan dalam pendapatan operasi dan keuntungan bersih.
Katanya, melalui pengurusan risiko yang berhemat dan pendekatan perniagaan yang berdisiplin, UOB Malaysia mampu mengekalkan penyata imbangan yang kukuh di samping terus merebut peluang dan mengembangkan bahagian pasaran.
"Melangkah ke hadapan, kami kekal bertumpu pada peningkatan infrastruktur teknologi untuk memacu
inovasi dan prestasi.
"Kami juga akan terus membantu pelanggan mengambil peluang daripada arah aliran pertumbuhan berstruktur ASEAN, selain beralih kepada kemampanan melalui rangkaian penyelesaian pembiayaan kami," katanya.
Dari segi kemampanan, UOB Malaysia mencapai satu lagi kejayaan dengan pelancaran program UEnergy2, yang merupakan platform pembiayaan bersepadu pertama di Asia.
Program itu diperkenalkan bagi membantu perniagaan dan pemilik rumah menyesuaikan semula bangunan mereka dengan ciri-ciri cekap tenaga untuk mengurangkan penggunaan tenaga.
U-Energy melengkapkan program U-Solar Bank, yang dilancarkan pada 2019, dalam usaha menyediakan penyelesaian pembiayaan fleksibel kepada rakyat Malaysia untuk beralih kepada sumber boleh diperbaharui selain memainkan peranan dalam menangani perubahan iklim. - DagangNews.com








