Untung bersih Sunway Construction susut 19% kepada RM27.8 juta dalam 1QFY23 akibat sumbangan segmen pembinaan rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Sunway Construction susut 19% kepada RM27.8 juta dalam 1QFY23 akibat sumbangan segmen pembinaan rendah

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mei - Keuntungan bersih Sunway Construction Group Berhad telah menyusut 19% kepada RM27.8 juta dalam suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) berbanding RM34.5 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan kumpulan pada suku berakhir 31 Mac 2023 ini juga telah berkurang 16% kepada RM522 juta daripada RM625 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Prestasi lemah pada 1QFY23 telah diheret oleh sumbangan yang lebih rendah daripada segmen pembinaan, di mana pendapatannya adalah sebanyak RM469 juta berbanding RM587.8 juta yang direkodkan pada suku pertama tahun kewangan 2022 (1QFY22).

 

“Projek aktif sedia ada masih belum menyumbang kepada kumpulan memandangkan projek-projek itu masih di peringkat awal dalam suku semasa,” jelas Sunway Construction.

 

Sementara itu, segmen pratuang merupakan penyumbang tertinggi kumpulan dengan pendapatan sebanyak RM53 juta pada 1QFY23 berbanding RM36.9 juta pada suku yang sama tahun lepas.

 

“Peningkatan dalam prestasi kewangan dirangsang oleh kemajuan lebih tinggi yang dicapai untuk projek baharu. Pada suku tersebut, kumpulan telah memulakan operasi Hab PraTuang Pembinaan Bersepadu (ICPH) baharunya di Singapura,” katanya.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Sunway Construction, Liew Kok Wing berkata kumpulan itu telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan dalam tahun kewangan semasa.

 

 

Liew Kok Wing
Liew Kok Wing

 

 

Beliau berkata kumpulan telah menambah semula buku pesanan baharu bernilai RM1.28 bilion pada 1QFY23, mewakili 64% daripada sasaran buku pesanan baharu bagi FY23.

 

“Kami optimistik dengan berhati-hati dalam mencatat pertumbuhan positif untuk FY23 disokong oleh buku pesanan tertunggak sedia ada.

 

“Buku pesanan tertunggak telah meningkat kepada RM6 bilion setakat 31 Mac 2023, memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh kepada kumpulan,” ulas Kok Wing dalam satu kenyataan. -DagangNews.com