Untung bersih Q1 Hektar REIT melonjak lebih 100% kepada RM13.74 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Q1 Hektar REIT melonjak lebih 100% kepada RM13.74 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Mei - Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) merekodkan hasil sebanyak RM29.12 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 (Q1), meningkat 8.7% berbanding RM26.78 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Bagi tempoh itu, pendapatan hartanah bersih (NPI) meningkat 17.9% kepada RM16.62 juta daripada RM14.1 juta, menurutnya dalam makluman Bursa Malaysia hari ini. 

 

Keuntungan selepas cukai (PAT) turut melonjak 110.7% kepada RM13.74 juta daripada RM6.52 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Hasil yang lebih tinggi pada suku berkenaan terutamanya disebabkan sokongan sewa yang lebih tinggi diberikan kepada penyewa pada 2021 kerana perniagaan mereka terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

 

Pada masa sama, NPI dan PAT yang lebih tinggi didorong terutamanya menerusi hasil yang lebih tinggi dan pembalikan untuk rosot nilai penghutang perdagangan pada suku semasa.

 

Termasuk dalam keuntungan sebelum cukai pada suku semasa ialah pendapatan lain sekali sahaja sebanyak RM1.4 juta, iaitu tuntutan yang diberikan oleh mahkamah terhadap pihak ketiga.

 

Menurut Hektar REIT, pasaran peruncitan Malaysia bersedia untuk kembali bangkit tahun ini, setelah terjejas teruk dengan penularan wabak COVID-19 selama 2 tahun berturut-turut.

 

Berdasarkan Laporan Industri Peruncitan Malaysia bagi Mac 2022, industri peruncitan pada suku keempat 2021 merekodkan pertumbuhan 26.5% tahun ke tahun.

 

Retail Group Malaysia (RGM) juga menekankan bahawa keputusan suku tahunan ini melebihi jangkaan pasaran kerana industri bersedia untuk pulih pada 2022.

 

"Bagaimanapun, pihak pengurusan mengekalkan pandangan berhati-hati bagi suku tahun akan datang dan akan memantau situasi yang berlaku.

 

"Kumpulan juga kekal fokus untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pembeli, penyewa, pekerja dan komuniti di semua aset hartanah kami," katanya. - DagangNews.com