Untung bersih Power Root jatuh 33.8% kepada RM10.3 juta bagi 2QFY24 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Power Root jatuh 33.8% kepada RM10.3 juta bagi 2QFY24

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Nov - Power Root Berhad telah mencatat keuntungan bersih RM10.3 juta pada suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (2QFY24), jatuh 33.8% berbanding RM15.6 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatannya pada suku berakhir 30 September 2023 itu juga merosot 20.7% kepada RM99.7 juta daripada RM125.7 juta tahun lalu dengan pendapatan sesaham (EPS) susut kepada 2.2 sen berbanding 3.7 sen sebelumnya.

 

“Penurunan ini terutamanya disebabkan oleh pendapatan yang lebih rendah untuk eksport dan pasaran tempatan pada suku semasa berbanding suku sama pada tahun sebelumnya,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Secara kumulatif, keuntungan bersih Power Root bagi separuh pertama tahun kewangan 2024 (2HFY24) menurun 17% kepada RM25.6 juta daripada RM30.9 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Manakala pendapatannya dalam tempoh berkenaan berjumlah RM212 juta, menyusut 10.8% berbanding RM237.8 juta.

 

Mengulas mengenai prospek, Power Root berkata persekitaran perniagaan kekal mencabar disebabkan ketidaktentuan pasaran dan tekanan inflasi.

 

“Masalah luaran seperti turun naik dalam harga komoditi dan kadar pertukaran asing serta potensi perubahan dalam dasar kawal selia telah menyumbang kepada tekanan kos.

 

“Kami akan terus mengejar peluang pertumbuhan dalam pasaran tempatan dan luar negara dengan pelaksanaan langkah-langkah berkesan yang berterusan, serta cekap dalam operasi dan rangkaian pengedaran kami,” tambahnya.

 

Saham Power Root ditutup tinggi pada RM2.02, menokok 2 sen atau 1% dengan permodalan pasaran bernilai RM981.6 juta.  - DagangNews.com