Untung bersih Gamuda pada 3QFY23 dalam jangkaan, MIDF Research yakin prospek pendapatan kekal kukuh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Gamuda pada 3QFY23 dalam jangkaan, MIDF Research yakin prospek pendapatan kekal kukuh

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Jun - MIDF Research optimistik prospek pendapatan Gamuda Berhad kekal kukuh, disokong oleh buku pesanan cemerlang dan kehadirannya yang kukuh di luar negara, yang kini menyumbang hampir separuh daripada keuntungan kumpulan.

 

Menurut firma penyelidikan itu, buku pesanan pembinaan tertunggak berjumlah RM21.5 bilion memberikan kumpulan itu keterlihatan pendapatan sehingga tahun kewangan 2026 atau 2027 (FY26/27), di mana projek Australia masih membentuk sebahagian besar jumlah tersebut pada RM12.4 bilion atau 57.7%.

 

“Ini termasuk projek RM4.5 bilion berikutan selesainya pengambilalihan perniagaan projek pengangkutan Downer Group (DTP),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini susulan keputusan suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) semalam.

 

Di samping itu, projek luar negara lain yang menyumbang kepada buku pesanannya termasuk di Taiwan berjumlah RM2 bilion atau 9.3%, dan Singapura pada RM1.3 bilion atau 6%.

 

Dengan sasaran untuk meraih kerja baharu berjumlah RM12 bilion hingga RM13 bilion setiap tahun, kumpulan itu juga berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaannya di Australia dan Taiwan.

 

Firma itu juga menyukai Gamuda yang kekal sebagai peneraju utama pakej bawah tanah terbesar MRT3 dan ia merancang untuk melangkah lebih jauh dengan membida pakej sistem.

 

Walaupun mungkin terdapat kelewatan dalam pelancaran Transit Aliran Massa 3 (MRT3), MIDF Research berkata ia hanya memberi impak minimum kepada Gamuda, yang sudah mempunyai sejumlah besar pekerjaan, di samping keupayaannya untuk mendapatkan lebih banyak projek.

 

Projek kumpulan itu di Malaysia berjumlah RM5.8 bilion atau 27% daripada jumlah buku pesanan.

 

 

 

BACA: Gamuda catat untung bersih RM223 juta pada 3QFY23, isytihar dividen interim 6 sen sesaham

 

 

Mengulas tentang keputusan kewangan 3QFY23, MIDF Research berkata keuntungan bersih dalam tempoh sembilan bulan berakhir April 2023 itu melonjak 24.9% tahun ke tahun (YoY) kepada RM607.7 juta, sejajar dengan jangkaannya pada 74.7% namun melebihi anggaran penuh konsensus sebanyak 82.5%.

 

Oleh itu, firma itu mengekalkan anggaran pendapatan memandangkan keputusan 3QFY23 sejajar dengan jangkaan.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM5.04 sesaham.

 

Setakat pukul 9:30 pagi hari ini, saham Gamuda telah meningkat 15 sen atau 3.5% kepada RM4.40, memberikannya permodalan pasaran berjumlah 11.7 bilion. - DagangNews.com