Untung bersih Focus Point diramal melonjak 13.6% kepada RM34.2 juta pada FY24, kata TA Securities | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Focus Point diramal melonjak 13.6% kepada RM34.2 juta pada FY24, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mei - TA Securities meramalkan untung bersih Focus Point Holdings Bhd meningkat sebanyak 13.6% kepada RM34.2 juta pada FY24 didorong pengembangan cawangan kedai optik, pemulihan bahagian makanan dan minuman (F&B) serta peningkatan perbelanjaan pelancong.

 

Mereka percaya bahawa perniagaan cermin mata kekal berdaya tahan pada tahun ini didorong pertambahan individu rabun dalam kalangan akyat Malaysia selain pengurusan juga menyasarkan pembukaan 10 cawangan baharu dan 10 cawangan Sightsavers (berbanding pembukaan enam cawangan pada 2023).

 

"Kumpulan itu juga telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pusat Mata Pakar Antarabangsa (ISEC) bagi jalinan kerjasama dalam bidang rujukan pesakit serta penjagaan bersama berkaitan optometri pasca operasi.

 

"Di samping itu, Focus Point akan menjalankan lebih banyak kempen pemasaran dan promosi untuk meningkatkan bahagian pasarannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada tahun ini, pengurusan menyasarkan pembukaan dua cawangan Komugi di wilayah tengah dan sebagai tambahan, kumpulan itu telah membuka kiosk yogurt beku HAP&PI baharu di Mid Valley.

 

Secara keseluruhan, mereka percaya bahawa bahagian F&B akan pulih dengan keuntungan sebanyak RM4.8 juta pada FY24 berbanding kerugian sebanyak RM1 juta pada tahun lalu disebabkan bilangan kakitangan yang lebih stabil, margin lebih tinggi daripada yogurt beku, sumbangan sulung daripada pelanggan korporat baharu dan pesanan lebih tinggi daripada pelanggan sedia ada.

 

TA Securities berkata, pengurusan percaya bahawa peningkatan perbelanjaan pelancong akan menjadi pemangkin dalam meningkatkan jualan pada FY24 terutamanya dalam segmen optik.

 

Firma penyelidikan itu memahami bahawa Johor merupakan wilayah terbaik untuk kumpulan pada FY23 selepas pembukaan semula sempadan negara.

 

"Warga Singapura tertarik dengan kelemahan nilai ringgit dan harga optik yang lebih rendah lebih dua kali ganda.

 

"Selain itu, kumpulan merancang untuk melibatkan diri dengan pihak ketiga (pusat beli-belah) bagi menyertai program kad ganjaran pelancong. Kami percaya bahawa jualan Focus Point di cawangan tumpuan pelancong (TRX, KLCC, Melaka dan Johor) akan berkembang pada FY24," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.11 sesaham. - DagangNews.com