KUALA LUMPUR 27 Nov - Unjuran keuntungan bersih Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi tahun kewangan 2023 (FY23) dikurangkan sebanyak 14% berikutan margin bahan api negatif yang lebih besar bagi syarikat penjanaan kuasa (genco), menurut MIDF Research.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran FY24/25 kerana ia menjangkakan margin bahan api stabil pada tahun depan didorong harga arang batu yang kembali stabil.
Firma itu menyelaraskan unjuran berkenaan susulan keputusan suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) TNB yang masih diheret oleh margin bahan api negatif dan lebih lemah daripada jangkaan.
Bagaimanapun, firma tersebut menjangkakan kelemahan berkenaan bersifat sementara dengan potensi pemulihan dalam tahun kewangan berikutnya.
TNB melaporkan keuntungan bersih teras sebanyak RM793 juta untuk 3QFY23, menjadikan pendapatan teras dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) kepada RM2.55 bilion.
“Ini membentuk anggaran tahun penuh kami dan konsensus masing-masing sebanyak 64% dan 55%. Sebagai ilustrasi, tidak termasuk margin bahan api negatif, kami menganggarkan pendapatan teras 9MFY23 merekodkan sejumlah RM3.32 bilion, membentuk 84% daripada FY23 kami,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut MIDF Research, pada asas kumulatif, pendapatan teras 9MFY23 merosot 22% yoy, turut diheret oleh margin bahan api negatif, tetapi pertumbuhan pendapatan terkawal kekal utuh, meningkat 5% yoy kepada RM3.56 bilion apabila perbelanjaan modal (capex) dipercepat semula berikutan kelewatan dalam dua tahun sebelumnya berikutan pandemik .
“Kami menjangkakan seretan daripada margin bahan api negatif akan kembali normal pada FY24 berdasarkan kestabilan harga arang batu pasaran.
“Ditambah dengan pertumbuhan stabil pendapatan terkawal, kami menjangkakan pendapatan TNB pada FY24 mencatatkan pemulihan yang bermakna.
Dari segi positif, kunci kira-kira terus bertambah baik dengan penghutang menyusut lagi sebanyak 8% qoq kepada RM13.42 juta disebabkan pemulihan kos yang lebih baik melalui pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) dan kutipan subsidi kerajaan.
Sementara itu, penggearan bersih berkurangan kepada 75% (2QFY23: 78%) apabila TNB terus mengurangkan hutang jangka pendek memandangkan keperluan modal kerja yang berkurangan didorong penurunan harga bahan api.
MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM11 sesaham.
Setakat pukul 9:53 pagi ini, saham TNB susut 6 sen atau 0.6% kepada RM9.94 dengan permodalan pasaran bernilai RM57.5 bilion. - DagangNews.com








