Unjuran pendapatan Petronas Chemicals bagi FY24 ditingkatkan 8% berikutan jangkaan harga urea naik kepada AS$400 – Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unjuran pendapatan Petronas Chemicals bagi FY24 ditingkatkan 8% berikutan jangkaan harga urea naik kepada AS$400 – Kenanga Research

Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC)
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Nov - Kenanga Research meningkatkan unjuran pendapatan Petronas Chemicals Group Berhad bagi tahun kewangan 2024 (FY24) sebanyak 8% berikutan jangkaan harga urea meningkat kepada AS$400 setiap tan metrik (MT).

 

Firma penyelidikan itu berkata harga urea telah pulih kepada julat antara AS$350/MT dan AS$400/MT sejak Julai 2023, daripada paras terendah AS$280/MT pada Jun 2023, didorong oleh sekatan eksport di China untuk mendapatkan bekalan domestik.

 

Firma itu berkata, setakat tahun ini, harga urea mempunyai purata pada sekitar AS$350/MT, yang konsisten dengan andaiannya sebanyak AS$350 untuk FY23.

 

“Kami menjangkakan trend menaik harga urea berterusan sehingga FY24 didorong oleh pemulihan dalam ekonomi global. Oleh itu, kami menaikkan andaian kami kepada AS$400/MT (daripada AS$350/MT) bagi FY24F,” katanya.

 

Oleh itu, Kenanga Research menaikkan saranan ke atas saham Petronas Chemicals kepada ‘market perform’ daripada ‘underperform’ dengan menaikkan harga sasaran (TP) sebanyak 16% kepada RM7.20 sesaham berbanding RM6.20 sebelumnya.

 

Bagaimanapun, firma itu menurunkan unjuran pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 7% berikutan ia mengandaikan penggunaan loji lebih rendah pada paras 89% berbanding 95%.

 

Prospek jangka terdekat kumpulan itu terjejas dalam suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) disebabkan penutupan loji metanolnya di Labuan.

 

Di samping itu, tarikh permulaan penuh Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) masih belum dipastikan dan Kenanga Research tidak menjangkakan PIC menyumbang secara positif untuk FY23.

 

Sementara itu, segmen bahan kimia khusus Petronas Chemicals masih suram berikutan kelembapan industri pembinaan di Eropah pada separuh pertama 2023 kerana pertumbuhan pendapatan lebih perlahan dan syarat kurang menggalakkan daripada pelanggan.

 

Manakala kapasiti China telah membanjiri pasaran memandangkan ekonomi domestiknya goyah, di mana firma itu menjangkakan ia akan berterusan sepanjang 2HFY23 dan pemulihan beransur-ansur pada FY24.

 

Di samping itu, kontrak bekalan etana masih dalam rundingan dengan syarikat induknya, Petronas, yang dijangka diperbaharui untuk dua tahun lagi tanpa perubahan ketara dalam terma kontrak.

 

Pada pukul 11:36 pagi ini, saham Petronas Chemicals menokok 4 sen atau 0.6% kepada RM7.17 dengan permodalan pasaran berjumlah RM57.4 bilion.  - DagangNews.com