UEM Sunrise peroleh manfaat utama daripada pelbagai inisiatif kerajaan di Johor – AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UEM Sunrise peroleh manfaat utama daripada pelbagai inisiatif kerajaan di Johor – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - AmInvestment Bank Research menjangkakan UEM Sunrise Berhad menjadi penerima manfaat utama daripada pelbagai inisiatif kerajaan yang menambah baik sentimen pasaran hartanah di Johor, terutamanya Iskandar Puteri.

 

AmInvestment berkata perkembangan terkini telah mendedahkan pemangkin berpotensi mendorong permintaan yang lebih tinggi untuk hartanah di Johor.

 

Ini termasuk: (i) penyiapan Sistem Transit Rapid Singapura-Johor Bahru (RTS Link) pada tahun kewangan 2026 (FY26), (ii) projek kereta api laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dihidupkan semula, (iii) penubuhan zon kewangan khas di Iskandar Malaysia dan (iv) potensi kelonggaran syarat untuk program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

 

Sementara itu, syarikat induk kumpulan, UEM Group, baru-baru ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan loji jana kuasa solar fotovoltaik hibrid 1GW (gigawatt) yang disepadukan dengan taman perindustrian tenaga boleh diperbaharui (RE) di Johor.

 

Walaupun lokasi tepat dan butiran taman itu masih belum didedahkan, AmInvest menjangkakan tapak tersebut akan terletak di dalam Iskandar Puteri memandangkan anak syarikat UEM Sunrise mempunyai bank tanah yang besar di kawasan berkenaan.

 

“Kami percaya UEM Sunrise, sebagai pemilik tanah utama serta pemaju induk Iskandar Puteri akan menjadi penerima utama aliran berita positif di Johor baru-baru ini.

 

“Namun, kami mengekalkan unjuran pendapatan kami memandangkan ia akan mengambil masa lebih lama untuk perkembangan positif menjadi kenyataan dan dicerminkan dalam jualan dan pelancaran baharu UEM Sunrise,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Setakat 31 Mac 2023, Iskandar Puteri membentuk 2096 hektar atau 61% daripada jumlah simpanan tanah UEM Sunrise dan RM58 bilion atau 55% daripada jumlah baki nilai pembangunan kasarnya (GDV).

 

AmInvestment mengekalkan saranan pegang dengan nilai saksama (FV) 46 sen sesaham, berbanding 25 sen sebelumnya.

 

Pada waktu penulisan, saham UEM Sunrise menokok 3 sen atau 6.1% kepada 52.5 sen dengan permodalan pasarannya berjumlah RM2.66 bilion.  - DagangNews.com