KUALA LUMPUR 3 Julai - UEM Group Berhad, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) merancang untuk membangunkan Program Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) bernilai RM7 bilion.
Program itu bakal memacu pertumbuhan organik aset sedia ada, meneroka potensi penggabungan dan pengambilalihan, kerjasama strategik termasuk kerjasama di samping menarik pelaburan langsung dari dalam dan luar negara.
Usaha itu akan mengambil pendekatan proaktif untuk terus membangunkan industri hijau Malaysia dengan matlamat ke arah mewujudkan jaguh hijau tempatan, memacu agenda dekarbonisasi negara, serta mencipta peluang pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat Malaysia.
Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, kumpulan itu merancang untuk memperkasakan ekosistem ekonomi tempatan dan membangunkan sebuah perniagaan hijau yang berdaya saing menerusi pendekatan pemilikan yang aktif dan secara terus, sekaligus menghasilkan pulangan komersial.
Katanya, kumpulan itu mengenal pasti beberapa syarikat tenaga hijau tempatan dan antarabangsa dengan rekod kerja cemerlang serta terkemuka dalam negara yang memerlukan penglibatan pelabur strategik untuk mengembangkan operasi mereka.

“Sejak sekian lama UEM Group telah memainkan peranan dalam menjayakan agenda pembangunan negara bangsa dan kini peranan tersebut akan diteruskan dengan tumpuan yang lebih bersasar ke arah usaha menangani perubahan iklim dengan menyokong serta membangunkan industri hijau negara merangkumi tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy atau RE), pengurusan sisa serta infrastruktur dan pengangkutan hijau.
“Kami berhasrat untuk menerajui agenda dekarbonisasi Malaysia dan ini termasuklah membantu kerajaan dalam beralih ke penyelesaian tenaga mampan serta aspirasi untuk menjadi negara neutral karbon, di samping mencapai 70% kapasiti RE dalam penjanaan elektrik negara menjelang tahun 2050.
“Kami juga akan menggiatkan usaha untuk memantapkan keupayaan hijau tempatan dalam jangka masa panjang dan meningkatkan daya saing negara menerusi peningkatan kemahiran serta pembangunan tenaga kerja tempatan," katanya.
Fokus UEM Group bagi tempoh lima tahun (2023 sehingga 2027) menerusi anak syarikat milik penuhnya yang baharu ditubuhkan iaitu UEM Lestra Berhad (UEM Lestra), adalah untuk memantapkan serta memacu pertumbuhan organik aset hijau milik anak-anak syarikatnya selain menjayakan projek-projek dalam empat sektor.
Antara sektor itu ialah RE, penyelesaian tenaga bersepadu, mobiliti hijau atau elektrik termasuk penyelenggaran serta perkhidmatan infrastruktur seta pengurusan sisa dan kitar semula.- DagangNews.com








