KUALA LUMPUR 4 April - UDA Holdings Bhd (UDA) menyumbang zakat wakalah bernilai RM31,500 kepada 90 anak-anak asnaf dan anak yatim dari Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh, menerusi program tanggungjawab sosial korporat UDA Cares.
Setiap seorang menerima sumbangan berjumlah RM350 berupa duit raya serta baju raya dan kelengkapan Hari Raya Aidilfitri.
Anak-anak tersebut turut berpeluang membeli baju raya serta persiapan menjelang lebaran di Angsana Johor Bahru Mall yang merupakan salah sebuah kompleks beli-belah di bawah seliaan UDA.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd Salem Kailany berkata, beliau berharap sumbangan ini dapat memberikan makna yang besar dan membuatkan mereka mengukir senyuman serta keceriaan menjelang Syawal pada tahun ini.
"Inisiatif UDA Cares ini juga merupakan tanda penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mempercayai dan menyokong UDA sehingga lima dekad lamanya.
"UDA akan terus mengukuhkan fungsi dan peranan dalam setiap segmen perniagaannya, seterusnya bergerak ke arah kelestarian atau ‘sustainability’," katanya dalam kenyataan hari ini.


Pada 28 Mac lalu, UDA menghulurkan sumbangan zakat sebanyak RM58,000 kepada lima buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Lembah Klang serta menyantuni anak asnaf dan anak yatim dalam Majlis Berbuka Puasa UDA Bersama Media di Dome, Boathouse, Ampang.


Inisiatif UDA Cares ini juga selari dengan konsep penjenamaan UDA iaitu ‘LIFE’ yang menekankan kepada ciri-ciri seperti Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa). - DagangNews.com








