Tunda penerbangan: Pengguna AirAsia berhak tuntut pampasan - KPDNHEP | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tunda penerbangan: Pengguna AirAsia berhak tuntut pampasan - KPDNHEP

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Mei - Para penumpang AirAsia yang mengalami masalah kelewatan dan penjadualan semula penerbangan mereka baru-baru ini berhak menuntut pampasan tertakluk kepada beberapa faktor bagi meneruskan perjalanan, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

 

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada punca penundaan atau pembatalan, berdasarkan maklumat daripada laman web Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), http://mavcom.my.

 

"Pampasan ini mungkin merangkumi makanan, panggilan telefon dan akses internet (bagi penangguhan selama 2 jam atau lebih). Penginapan hotel serta pengangkutan (untuk penangguhan selama 5 jam atau lebih) dan pembayaran balik secara penuh atau penerbangan alternatif (jika penerbangan anda dibatalkan).

 

"Satu-satunya pengecualian (bagi mendapatkan pampasan) adalah apabila berlakunya suatu “keadaan luar biasa” yang termasuk risiko keselamatan atau cuaca ekstrem, yang mana syarikat penerbangan tidak dapat menjangkanya," katanya menerusi ciapan di Twitternya hari ini.

 

Menurut Alexander, jika penumpang terlibat tidak menerima pampasan sewajarnya, mereka boleh membuat aduan rasmi kepada syarikat penerbangan tersebut sebelum menghubungi MAVCOM.

 

"Kelewatan ini dikesan sudah berlaku sejak penghujung bulan lalu dan masih berlanjutan. 

 

"KPDNHEP akan terus menjalankan siasatan daripada sisi kepentingan pengguna dan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi merungkai permasalahan ini, demi memastikan ia tidak berlanjutan serta berulang," katanya.

 

 

nanta
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

 

 

Sementara itu, beberapa pengguna syarikat penerbangan tersebut meluahkan rasa kesal di media sosial ekoran kelewatan dan penjadualan semula penerbangan mereka, sejak penghujung April 2022 dan berlarutan sehingga Sabtu lepas.

 

Seorang pengguna Twitter yang dikenali Dini Zaini kecewa apabila jadual penerbangan asalnya pada pukul 6.30 petang ditunda 8.40 malam hanya menerusi notis di saat akhir.

 

 

airasia

 

 

airasia

 

 

"Sekarang sudah pukul 9 malam, kami masih tidak dipanggil untuk menaiki kapal terbang. Anda telah menyusahkan kami. Kami ada perancangan dan jadual sendiri," katanya.

 

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau turut memuat naik ciapan di Twitter memaklumkan, penerbangan beliau dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu turut ditunda.

 

 

airasia

 

 

airasia

 

 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, penerbangan beliau dijadualkan semula pada pukul 10 malam, namun mengalami kelewatan dan terpaksa dijadualkan semula pukul 12.30 pagi. 

 

"Terkini, anggaran masa adalah 3.30 pagi, ia adalah gila," katanya. - DagangNews.com