TrueMoney capai 15,000 mata pembayaran tempatan selepas empat bulan dilancarkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TrueMoney capai 15,000 mata pembayaran tempatan selepas empat bulan dilancarkan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 April - Pemain fintech, TrueMoney mencapai sebanyak 15,000 mata pembayaran tempatan termasuk runcit, makanan dan minuman, permainan dan kafe selepas empat bulan pelancarannya di Malaysia.

 

Platform e-dompet berasaskan QR itu berkata, ia mengalami pertumbuhan kukuh dalam kedua-dua pihak peniaga dan pengguna sejak memasuki pasaran tempatan pada Januari tahun ini.

 

Pengarah Urusan Negara Ascend Group, Jessi Chong berkata, kehadiran 15,000 tempat pembayaran tempatan di Malaysia memastikan pelanggan mereka boleh menggunakan e-dompet TrueMoney di lebih banyak perniagaan, memberikan mereka pilihan pembayaran yang mudah dan selamat.

 

“Bagaimanapun, kami tahu bahawa ini masih permulaan untuk jenama ini, dan kami tetap teruja untuk melihat TrueMoney menjadi pilihan pembayaran yang relevan di Malaysia," katanya dalam kenyataan.

 

Mulai sekarang hingga 31 Julai 2023, pengguna e-dompet TrueMoney boleh menerima pulangan tunai sehingga RM10 apabila membuat pembayaran menggunakan e-dompet menerusi perniagaan yang mengambil bahagian.

 

Selain itu, TrueMoney juga menawarkan hadiah raya khas kepada pengguna e-dompet, yang mana mereka boleh memenangi hadiah dan ganjaran wang tunai.

 

Sehingga tahun ini, aplikasi e-dompet TrueMoney telah dimuat turun lebih 50 juta orang di Asia Tenggara.

 

 

truemoney

 

 

TrueMoney berjaya memperluas operasi ke pasaran merentasi tujuh buah negara, termasuk Malaysia, dan membentuk rangkaian ejen yang terbesar di rantau ini dengan jumlah melebihi 88,000 ejen. 

 

Melalui rangkaian luas ini, pengguna dapat memanfaatkan pemindahan wang domestik dan antarabangsa yang lancar di samping pelbagai penyelesaian kewangan inovatif, termasuk pembayaran tanpa tunai, tambah nilai telefon pintar, pembayaran bil, dan banyak lagi.

 

TrueMoney berhasrat untuk menjadi e-dompet terpilih dalam kalangan warga Malaysia memandangkan dengan penyertaan baharu jenama terkemuka seperti Lotus Malaysia, Chatime, BilaBila mart, DipNdip, Econsave, Senheng dan Elken di platform berkenaan. - DagangNews.com