Trip.com Group beri bonus tahunan lebih RM6,000 bagi setiap anak kakitangan di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Trip.com Group beri bonus tahunan lebih RM6,000 bagi setiap anak kakitangan di Malaysia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Julai - Trip.com Group menyediakan bonus tunai tahunan RMB10,000 (RM6,421) untuk setiap anak yang baru lahir secara tahunan dari hari jadi pertama anak sehingga anak mencapai umur lima tahun.

 

Jelasnya, bonus tunai itu adalah bagi kakitangan Malaysia yang telah berkhidmat dengan syarikat selama tiga tahun ke atas.

 

Syarikat itu berkata sedemikian dalam satu kenyataan media mengumumkan subsidi penjagaan anak untuk kakitangan globalnya hari ini termasuk Malaysia.

 

“Syarikat bercadang untuk melabur RMB1 bilion (lebih RM642 juta) sebagai subsidi untuk menyokong kakitangannya merancang keluarga dan menggalakkan budaya keluarga bekerja,” tambahnya.

 

Pengerusi Eksekutif Lembaga Pengarah Trip.com Group, James Liang mengakui kakitangan adalah aset paling penting bagi syarikat dan mereka komited untuk mewujudkan persekitaran lebih baik yang menyokong kehidupan mereka.

 

“Dengan memperkenalkan manfaat penjagaan anak baharu ini, kami berhasrat memberikan sokongan kewangan yang menggalakkan kakitangan untuk menimang cahaya mata atau membina keluarga tanpa menjejaskan matlamat dan kemajuan profesional masing-masing,” tambah beliau.

 

 

James Liang
James Liang

 

Trip.com Group berkata subsidi penjagaan kanak-kanak itu merupakan komitmen selanjutnya ke arah usaha mencapai matlamat mewujudkan tempat kerja yang terangkum dan menyokong kakitangan agar mereka mencapai keseimbangan dalam kehidupan berkeluarga dan berkerjaya.

 

Di samping itu, syarikat tersebut turut memberikan sokongan kukuh kepada ibu bekerjaya dan melindungi kakitangan yang hamil, di mana pada tahun-tahun kebelakangan ini, Trip.com Group telah melaksanakan dasar mesra keluarga seperti kerja hibrid dan manfaat bantuan reproduktif.

 

Sebagai pakar ekonomi demografi, James berkata beliau percaya bahawa dasar kesejahteraan keluarga boleh membantu wanita bekerjaya untuk mengurangkan masa dan kos mereka sebagai ibu, serta mencapai keseimbangan yang membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab keluarga dan kerjaya.

 

Sebagai sebahagian daripada usahanya untuk meningkatkan kesejahteraan dan kepuasan kakitangan, syarikat telah melaksanakan skim kerja hibrid yang membolehkan kakitangan di pelbagai pasaran membuat pilihan untuk bekerja dari jauh pada hari tertentu dalam seminggu.

 

“Model kerja hibrid diperkenalkan dengan matlamat menyediakan kepuasan kakitangan, memudahkan penjagaan keluarga dan menggalakkan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan,” katanya sambil menambah dasar tersebut telah diguna pakai olehnya di 14 rantau dan negara, termasuk Malaysia, Hong Kong, Singapura, Thailand, Jepun dan Australia.  - DagangNews.com