KUALA LUMPUR 20 Mac - Transaksi DuitNow QR melonjak lebih dua kali ganda kepada 360 juta bernilai RM14.6 bilion pada 2023 berbanding 125 juta transaksi berjumlah RM5.5 bilion tahun sebelumnya.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, pertumbuhan yang kukuh ini disokong oleh kadar penembusan telefon pintar yang tinggi sekitar 95% dan capaian Internet sekitar 97% dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Hasilnya, terdapat peningkatan yang stabil dalam jumlah keseluruhan e-pembayaran per kapita dan tempat penerimaan DuitNow QR oleh peniaga di seluruh negara," katanya dalam Laporan Tahunan 2023 hari ini.
Menurut BNM, sejak rangkaian pembayaran DuitNow QR dilancarkan pada 2019 oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), perkhidmatan ini terus menggalakkan ekosistem pembayaran lebih inklusif dengan penyertaan lebih pelbagai daripada 40 peserta bank dan bukan bank untuk memenuhi keperluan segmen pasaran yang berbeza.
Bank pusat itu berkata, perkhidmatan pemindahan kredit membentuk bahagian terbesar transaksi e-pembayaran iaitu 43%, di mana DuitNow Transfer tetap menjadi pilihan utama, dengan kadar pertumbuhan tahunan yang kekal tinggi sebanyak 32% pada 2023, berbanding 26% tahun sebelumnya, dan memegang 39% bahagian pasaran perkhidmatan pemindahan kredit.
“Transaksi DuitNow QR telah meningkat dengan ketara sejak pengenalan perkhidmatan ini, dipacu oleh orang ramai yang sudah biasa menggunakan perkhidmatan DuitNow QR, yang menjadi pilihan utama dalam kalangan pengguna kerana mudah digunakan serta kos rendah bagi peniaga berbanding e-pembayaran lain,” jelasnya.
BNM menambah bahawa DuitNow QR kini semakin popular dalam kalangan perniagaan, yang mana dalam tempoh empat tahun sejak perkhidmatan ini diperkenalkan, jumlah pendaftaran platform tersebut kini lebih daripada dua kali ganda bilangan terminal semasa jualan (POS), masing-masing sebanyak 2 juta pendaftaran kod QR dan 875,504 terminal POS.
“Menyedari permintaan yang tinggi ini, BNM akan terus memastikan sistem pembayaran di Malaysia mampu memenuhi keperluan segmen peniaga yang berbeza,” katanya.
Dengan kegiatan ekonomi kembali normal, pihak industri dengan rundingan bersama BNM telah memperkenalkan model yang lebih mampan untuk menampung semula kos berkaitan dengan penyediaan perkhidmatan pembayaran DuitNow QR.
Model ini akan memastikan ekosistem pembayaran kekal selamat dan boleh dipercayai untuk pengguna menerusi pelaburan berterusan yang diperlukan untuk menyelenggara infrastruktur pembayaran, termasuk pelaburan dalam langkah-langkah untuk menangani ancaman keselamatan siber dan penipuan yang terus berkembang. - DagangNews.com








