Top Builders Capital dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 8 Ogos jika tiada rayuan menjelang 3 Ogos | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Top Builders Capital dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 8 Ogos jika tiada rayuan menjelang 3 Ogos

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 28 Julai - Saham firma cerucuk dan kejuruteraan Top Builders Capital Bhd berdepan kemungkinan berat dinyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 8 Ogos 2023.

 

Namun begitu, syarikat Nota Amalan 17 (PN17) mempunyai masa sehingga 3 Ogos untuk meminta rayuan penyahsenaraian kepada Bursa Securities.

 

"Sekiranya syarikat mengemukakan rayuan kepada Bursa Securities dalam tempoh masa rayuan, penyahsenaraian sekuriti syarikat daripada senarai rasmi Bursa pada 8 Ogos akan ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan syarikat," kata Top Builders dalam makluman di bursa pada Khamis.

 

Pengumuman terbaharu itu susulan kegagalan Top Builders menyerahkan pelan regularisasinya kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau Bursa Securities untuk kelulusan dalam tempoh masa lanjutan 29 Jun lalu.

 

Permohonan syarikat untuk lanjutan masa untuk mengemukakan pelan penyusunan semulanya juga telah ditolak.

 

"Selepas penyahsenaraian syarikat, syarikat akan terus wujud tetapi sebagai entiti tidak tersenarai. Syarikat masih boleh meneruskan operasi dan perniagaannya dan meneruskan penstrukturan semula korporatnya dan pemegang sahamnya masih boleh diberi ganjaran oleh prestasi syarikat.

 

"Bagaimanapun , para pemegang saham akan memegang saham yang tidak lagi disebut harga dan didagangkan di Bursa," kata Top Builders.

 

Top Builders terperosok ke dalam status PN17 pada Januari 2022, apabila juruaudit luarnya KPMG PLT menyatakan keraguan terhadap keupayaan syarikat untuk meneruskan usaha berterusan kerana liabiliti semasanya melebihi aset semasanya sebanyak RM21.6 juta. Pada masa itu, ekuiti syarikat pada asas disatukan adalah kurang daripada 25% daripada modal sahamnya.

 

Dagangan saham Top Builders telah digantung sejak 8 November 2022, sementara menunggu penyerahan laporan tahunannya untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022.

 

Penggantungan itu berterusan selepas Top Builders gagal menyerahkan satu lagi laporan tertunggak untuk tiga bulan berakhir 31 Mac 2023. Kaunter sahamnya kali terakhir didagangkan pada dua sen, memberikan syarikat itu permodalan pasaran RM14.1 juta. - DagangNews.com