Tol percuma: PLUS saran pengguna susun jadual perjalanan balik kampung | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tol percuma: PLUS saran pengguna susun jadual perjalanan balik kampung

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyarankan para pengguna lebuh raya menyusun jadual perjalanan balik kampung berikutan sebahagian besar pengguna akan merebut peluang untuk menikmati faedah tol percuma pada 20 dan 21 Januari sempena Tahun Baru Cina.

 

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya membuat persiapan rapi dan menjangkakan tempoh perjalanan di lebuh raya mungkin lebih panjang kali ini terutamanya pada dua hari istimewa yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau berkata, bagi menguruskan lonjakan trafik ekoran pengumuman tersebut, PLUS juga menyatakan komitmennya untuk mengambil segala langkah yang sewajarnya untuk membantu orang ramai pada dua hari tersebut.

 

“Pihak PLUS akan mengambil langkah-langkah yang perlu dan kami telahpun mengatur pelbagai persediaan rapi melibatkan aspek perjalanan di lebuh raya, di plaza tol dan juga kawasan-kawasan rehat,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Terdahulu, PLUS menyambut baik inisiatif pemberian tol percuma kepada rakyat yang menggunakan perkhidmatan rangkaian Lebuhraya PLUS pada 20 Januari dan 21 Januari 2023 sempena dengan sambutan Tahun Baru Cina seperti mana yang diumumkan Perdana Menteri pada 18 Januari 2023.

 

Menurut Zakaria, pihaknya juga menasihatkan orang ramai sekali lagi yang ingin bergerak masa hari-hari puncak, terutamanya pada 2 hari tersebut supaya mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang telah dikeluarkan sebelum ini.

 

"Rancang perjalanan anda dengan teliti untuk mengurangkan kesesakan, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan mendapat rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

 

 

plus

 

 

Sementara itu, PLUS mengambil peluang untuk menjelaskan bagaimana pemberian tol percuma tersebut dilaksanakan di rangkaian lebuh rayanya.

 

Pertama, sekiranya pengguna memilih untuk menggunakan kad Touch ‘n Go atau SmartTAG, mereka masih perlu menyentuh kad Touch ‘n Go mereka di lorong tol di plaza tol untuk rekod perjalanan. Namun begitu, tiada bayaran tol akan dikenakan atau ditolak daripada kad Touch ‘n Go tersebut.

 

Kedua, sekiranya pengguna memilih untuk menggunakan RFID, mereka masih perlu masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID yang disediakan. Sepertimana kad Touch ‘n Go dan SmartTAG, tiada bayaran tol dikenakan atau ditolak daripada eWallet Touch ‘n Go mereka.

 

 

plus

 

 

Ketiga, pengguna lebuh raya akan menikmati tol percuma ketika melalui plaza tol keluar sepanjang tempoh yang ditetapkan.

 

Keempat, bagi pengguna kad Touch ‘n Go, mereka dinasihatkan supaya memeriksa status kad Touch ‘n Go sebelum perjalanan mereka dengan Touch ‘n Go Sdn Bhd.

 

Ini adalah bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol jika terdapat pengguna menggunakan kad Touch ‘n Go yang tidak aktif dan telah dinyahaktif.

 

PLUS juga mengesyorkan penggunaan Aplikasi Waze atau Google Maps semasa pemanduan untuk mendapatkan status trafik terkini sepanjang musim perayaan ini. - DagangNews.com