KUALA LUMPUR 29 Sept - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengorak langkah penting dalam komitmennya memacu tenaga boleh baharu (TBB) berskala besar dan inisiatif teknologi bersih, dengan menerajui tiga projek utama yang digariskan oleh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
Pada taklimat terbaharu kepada penganalisis mengenai keputusan kewangan suku kedua, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din mengumumkan fungsi TNB sebagai peneraju projek Taman Solar Berskala Besar (LSSP), Hibrid Solar Terapung Hidro (HHFS), serta pembakaran bersama hidrogen dan ammonia, yang kesemuanya penting untuk memajukan agenda hijau negara sambil memupuk pertumbuhan ekonomi.
"Pelan Peralihan Tenaga TNB sejajar dengan NETR, menekankan pada tiga bidang utama: mempercepatkan penyahkarbonan, membangunkan grid rentas sempadan yang fleksibel dan memperkasakan elektrifikasi dan prosumer rentas sektor," katanya.
Baharin mendedahkan pelan TNB untuk menjana 3,000 megawatt (MW) TBB menjelang 2040 dalam lingkungan projek utama NETR.
Ia termasuk memanfaatkan 2,500MW atau 2.5 gigawatt (GW) melalui teknologi inovatif HHFS di samping 500MW tambahan daripada lima LSSP berbeza, masing-masing mempunyai kapasiti 100MW.
Hibrid Solar Terapung Hidro (HHFS)
"Projek HHFS akan dilaksanakan dalam empat fasa mulai 2023 hingga 2040 dan ditempatkan secara strategik di empangan hidro TNB," kata Baharin.
TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) akan mengetuai pemasangan berkapasiti 230MW di loji hidro Temenggor dan Chenderoh sebagai sebahagian daripada pelan projek 2.5GW. Projek ini dijangka siap menjelang 2025.
Taman Solar Berskala Besar (LSSP)
Baharin mendedahkan Bahagian Tenaga Baharu (NED) TNB sedang menyokong Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP), yang ditetapkan untuk menjana 90MW apabila mula beroperasi pada 2025.
Progam ini memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk rumusan tenaga mampan melalui LSSP, melengkapi projek sedia ada di Sepang, Selangor (50MW), dan Bukit Selambau (30MW) serta Bukit Selambau 2 (50MW), Kedah yang dijangkakan beroperasi sepenuhnya hujung tahun ini.
Pembakaran bersama Hidrogen dan Ammonia TNB berganding dengan Petronas untuk projek pembakaran bersama hidrogen dan ammonia serta bekerjasama dengan Mitsui & Chugoku bagi inisiatif ammonia dan biojisim, bertujuan mempelbagaikan sumber portfolio tenaganya.
"Projek pembakaran bersama berskala kecil sedang dijalankan di loji arang batu terpilih di Port Dickson, Negeri Sembilan (Jimah East Power), dan Lumut, Perak (Manjung 1 dan Manjung 4). Fasa Reka Bentuk Kejuruteraan Front End (FEED) ini berfungsi sebagai prasyarat penting untuk pelaksanaan pembakaran bersama, dan kami menyasarkan aset arang batu tertentu," ujar Baharin.
Beliau berkata, TNB berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran 8.3GW TBB menjelang 2025.
"Sehingga Jun 2023, kami telah mencapai 48% daripada jumlah kapasiti sasaran kami. Ini terrmasuk projek NETR Bahagian 1, kami menjangkakan penambahan satu lagi TBB domestik berkapasiti 1,200MW menjelang 2025.
"Kami penuh yakin bahawa TBB domestik akan memainkan peranan penting dalam portfolio kami, selari dengan objektif negara mencapai 70% kapasiti TBB terpasang menjelang 2050," katanya.
Katanya, TNB sedang giat memupuk perkongsian dengan rakan serantau untuk menyokong realisasi Grid Tenaga ASEAN (APG).
"Kami telah memeterai 10 memorandum persefahaman dan Surat Niat, menandakan komitmen kami untuk memajukan pembangunan infrastruktur salinghubung dan pelaburan tenaga boleh baharu. Ini menandakan dedikasi TNB terhadap kerjasama serantau dan kemajuan tenaga mampan," katanya.
Baharin menekankan bahawa inisiatif NETR ini bukan sahaja akan menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara tetapi juga memenuhi aspirasi karbon sifar bersih negara.
"Kami berbangga dengan keupayaan TNB yang menyumbang dengan ketara melalui penglibatan dalam projek penting, sekaligus memastikan kesediaan Grid kami untuk menghadapi cabaran masa depan," katanya. - DagangNews.com








