TNB kuasai 55% Vortex Solar di United Kingdom | DagangNews Skip to main content

TNB kuasai 55% Vortex Solar di United Kingdom

 

SHAH ALAM 17 Sept. - Tenaga Nasional Berhad (TNB), menerusi subsidiari milik penuhnya, TNB International Sdn Bhd (TNBI) menguasai ekuiti dalam syarikat Vortex Solar Investments S.a.r.l. (Vortex Solar) daripada Beaufort Investments S.a.r.l, subsidiari EFG Hermes Holding SAE pada nilai GBP11 juta.

Pengambilalihan ini meningkatkan pegangan ekuiti TNB dalam Vortex Solar kepada 55%, sekaligus memberi TNB penguasaan majoriti dalam syarikat itu.


Vortex Solar adalah satu daripada platform solar terbesar di UK dengan skim subsidi Renewables Obligation Certificate (ROC). Portfolio itu merangkumi 24 ladang solar beroperasi dengan kapasiti keseluruhan 365MW yang konsisten menghasilkan pulangan kukuh sepanjang dua tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan pemerolehan ini adalah satu pencapaian penting dalam komitmen TNB untuk mengurangkan jejak karbonnya dan mengembangkan portfolio perniagaan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE), sejajar dengan aspirasi transisi tenaga untuk menjadi peneraju kepada penyelesaian tenaga mampan di dalam dan luar negara.

“Dengan pemerolehan ini, TNB kini menguasai pegangan majoriti Vortex Solar, sekaligus memperkukuhkan jejak perniagaan Kumpulan dalam bidang RE di Eropah selepas pemilikan penuh Tenaga Wind Ventures UK Ltd (TWV), portfolio Feed-in-Tariff (FiT) angin terbesar di UK.

“Ia juga adalah satu daripada strategi untuk mengembangkan perniagaan RE TNB di UK dan Eropah, malah ia adalah satu langkah terancang untuk menguasai aset-aset RE berprestasi tinggi, bermula dengan penguasaan pegangan 100% TWV pada awal tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dengan memanfaatkan keupayaan sedia ada TNB dan penguasaannya dalam TWV dan Vortex Solar, Amir berkata TNB akan mengembangkan perniagaannya di Eropah sejajar dengan strategi pertumbuhan RE di peringkat antarabangsa, melalui penstrukturan semula Vortex Solar dan TWV untuk menjadi Syarikat Aset Tenaga Boleh Diperbaharui yang bertujuan memiliki, menjalankan operasi dan mengurus portfolio aset-aset RE di UK dan Eropah.

Meskipun berdepan dengan keadaan tidak menentu akibat wabak COVID-19, prestasi kewangan dan operasi Vortex Solar dan TWV adalah di luar jangkaan.

Penguasaan Vortex Solar menyumbang secara positif kepada objektif kewangan dan strategik TNB. Portfolio itu mencatatkan EBITDA GBP39.1 juta pada 2019 dan berkembang daripada margin EBITDA 80% pada 2018 kepada 84% pada 2019. Pemerolehan ini juga dijangka menyumbang secara positif terhadap keuntungan bersih Kumpulan. - DagangNews.com