TNB giat sambung bekalan elektrik di Johor dan Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan pulih sepenuhnya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB giat sambung bekalan elektrik di Johor dan Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan pulih sepenuhnya

Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Ts. Shamsul Ahmad (berdiri, kiri) bermesra dengan kanak-kanak yang berada di PPS Sekolah Agama Seri Maimon, Batu Pahat, Johor.
oleh HUDA HASSAN

KUALA LUMPUR 7 Mac - Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang giat memulihkan bekalan elektrik di daerah di Johor dan Pahang yang terjejas akibat banjir dengan meletakkan keselamatan awam sentiasa menjadi pertimbangan utama dalam usaha pemulihan bekalan.

Sehingga jam 8 pagi hari ini, TNB telah menyambungkan semula bekalan secara berperingkat iaitu 70.68% daripada kawasan terjejas di Johor berjaya dipulihkan, Pahang (92.69%) manakala Melaka dan Negeri Sembilan pulih sepenuhnya.

Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Ts. Shamsul Ahmad berkata, warga kerja barisan hadapan TNB sedang bertungkus lumus di lapangan supaya bekalan dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

"Dalam suasana banjir terutama premis yang dinaiki air, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati menggunakan peralatan elektrik dan suisnya. 

"Jangan menyentuhnya dengan tangan basah dan lembap kerana boleh menyebabkan renjatan elektrik," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, beliau meyampaikan maklumat terkini kepada Mesyuarat Task Force Banjir di Negeri Johor yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh di Bilik Mesyuarat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Muar.

Shamsul kemudian menyerahkan bantuan kotak makanan TNB kepada mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Agama Seri Maimon, Batu Pahat dan menziarahi keluarga mangsa banjir yang juga warga kerja TNB, Mohd Ridzwan Mohd Shah, di Kangkar Tebrau, Johor Bahru.

Selain bantuan makanan, TNB juga memperuntukkan RM50,000 bantuan kewangan dan barangan keperluan kepada mangsa banjir di Johor sebagai tambahan kepada kira-kira RM1.73 juta untuk kos penyediaan 45 set janakuasa bergerak yang dihantar ke Johor bagi membantu negeri itu yang dilanda banjir.

 

tnb
Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Ts. Shamsul Ahmad (empat dari kanan) dan Pengurus Besar TNB Johor, Mohamed Noh Md Seth (tiga dari kanan) menyerahkan bantuan kotak makanan TNB kepada salah seorang mangsa bencana banjir di PPS Sekolah Agama Seri Maimon, Batu Pahat, Johor


Sementara itu, Shamsul berkata, TNB akan segera menyambung semula bekalan elektrik sebaik keadaan infrastruktur dan keselamatan premis pengguna mengizinkan dengan pemeriksaan menyeluruh pendawaian dilakukan oleh kontraktor berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) demi keselamatan mereka.

"Bekalan tidak boleh disambung begitu sahaja kerana penduduk perlu memastikan keadaan rumah mereka bersedia menerima bekalan elektrik. 

"Pendawaian dan peralatan elektrik yang ditenggelami air mungkin terjejas serta perlu dibersihkan dan diperiksa terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini," katanya.

Di pihak TNB pula, katanya, tindakan utama ialah memulihkan pencawang dan aset lain seperti tiang tumbang dan membaik pulih kabel dengan mengujinya untuk memastikan ia selamat bagi menyalurkan bekalan.

Pada masa sama, TNB juga menasihati pengguna di kawasan banjir untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB yang beralih atau tumbang. - DagangNews.com