TMG Ventures, Les’ Copaque buka restoran bertema Upin & Ipin di Lembah Klang | DagangNews Skip to main content

TMG Ventures, Les’ Copaque buka restoran bertema Upin & Ipin di Lembah Klang

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - TMG Ventures mengumumkan kerjasamanya dengan Les’ Copaque Productions untuk menghidupkan jenama ikonik ‘Upin & Ipin’ menerusi pengalaman restoran bertemakan animasi popular tersebut. 

 

TMGV memiliki pelbagai jenama makanan dan minuman (F&B) di seluruh Lembah Klang termasuklah restoran utamanya, The Majapahit Restaurant di Mont Kiara yang menyajikan masakan Asia Tenggara yang inovatif dengan penyediaan yang teliti.

 

Jenama lain yang diwujudkan oleh TMGV termasuklah jenama nasi padang, Warung Padang; pakar penyet Indonesia, Penyet Jakarta; dan restoran makanan segera kasual Asia Tenggara iaitu Gajah Mada dan Rasa Nusantara. 

 

Kumpulan syarikat ini juga memperoleh beberapa jenama barat seperti Mikey’s Original New York Pizza, NY Burger Co. dan Tail & Fin yang ditubuhkan di Las Vegas.

 

Pengarah Eksekutif TMGV, Suhazlee Othman berkata, berganding bahu bersama Les’ Copaque untuk memperkenalkan restoran bertema Upin & Ipin merupakan satu penghormatan dan detik yang bersejarah.

 

"Kerjasama ini bukan sahaja meraikan jenama ikonik Malaysia tetapi ia juga akan mewujudkan destinasi menjamu selera yang unik untuk peminat Upin & Ipin, penggemar makanan (kaki makan), dan keluarga. 

 

"Kami teruja untuk meneroka horizon baharu bagi jenama Upin & Ipin di Asia Tenggara dan seterusnya," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

 

UPIN

 

 

Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md. Radzi pula berkata, TMG Ventures sejiwa dengan pihaknya, yang berkongsi kesungguhan untuk mewujudkan pengalaman luar biasa.

 

"Jenama Upin & Ipin berteraskan masyarakat, kepelbagaian, dan kekeluargaan, dan kerjasama kami dengan TMG Ventures akan membawa nilai-nilai ini ke dalam dunia kulinari. 

 

"Bersama-sama, kami berhasrat untuk mewujudkan pengalaman menjamu selera yang menyeronokkan, menyajikan hidangan berkualiti di samping mengabadikan elemen penting Upin & Ipin," katanya.

 

 

UPIN

 

 

Perbincangan bersama pemilik premis di Lembah Klang untuk mewujudkan restoran bertema Upin & Ipin yang pertama akan membuka ruang menyatukan hiburan dan destinasi menjamu selera bagi membolehkan keluarga, penggemar, dan peminatnya menikmati pelbagai hidangan antarabangsa sambil merasai suasana dunia Upin & Ipin.

 

Les’ Copaque Productions, syarikat berwawasan di sebalik siri animasi Upin & Ipin yang cukup menarik, berbangga dengan legasinya menghasilkan animasi 3D terbaik yang menawan dunia.  

 

Sepanjang 16 tahun lalu dan menerusi 17 musim, pasangan kembar comel Upin & Ipin mencuri hati penonton dengan kenaifan dan kelucuan mereka serta pengajaran hidup yang sangat bermakna.  - DagangNews.com