TM keluar notis penamatan perjanjian langganan saham DNB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TM keluar notis penamatan perjanjian langganan saham DNB

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Mei - Telekom Malaysia Bhd (TM) mengeluarkan notis penamatan kepada Digital Nasional Bhd (DNB) berkuat kuasa serta-merta, selaras dengan terma perjanjian langganan saham (SSA) untuk melanggan 20% kepentingan ekuiti dalam DNB.

 

TM dalam makluman Bursa Malaysia berkata, ia berikutan tarikh lanjutan untuk memenuhi semua syarat duluan (CP) di bawah SSA telah luput.

 

"Namun begitu, TM menantikan proses dan perbincangan seterusnya dengan kerajaan dan industri mengenai penyertaan 5G merentas Fasa 1 (menuju 80% liputan perkhidmatan oleh DNB) dan Fasa 2 (beralih kepada dua rangkaian), seperti yang diumumkan kerajaan pada 3 Mei 2023.

 

"TM komited untuk terus memainkan peranan aktif dalam pelaksanaan 5G, memanfaatkan infrastruktur gentian seluruh negara, platform digital yang luas (pusat data, nod tepi) dan pengalaman pelancaran," katanya.

 

Dalam pada itu, pelanggan TM Unifi Mobile dan TM One akan terus menikmati perkhidmatan dan penyelesaian 5G, kerana Perjanjian Akses borong 5G kekal dilaksanakan.

 

TM komited untuk berkhidmat sebagai rakan kongsi yang dipercayai negara untuk mengembangkan ketersambungan keseluruhan Malaysia dan ekosistem digital, termasuk 5G. 

 

"Kami komited untuk membentuk Malaysia Digital melalui teknologi yang memperkasakan komuniti, perniagaan dan kerajaan," katanya. - DagangNews.com