KUALA LUMPUR 25 Mei - Telekom Malaysia Berhad (TM) mencatat prestasi yang stabil dan memberangsangkan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023, berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya (YoY).
Hasil operasi meningkat 2.0% kepada RM2.95 bilion, daripada RM2.89 bilion pada 2022, didorong oleh Unifi dan TM Global.
TM menyaksikan peningkatan jumlah pelanggan dengan Unifi kini menyediakan perkhidmatan kepada hampir 3.5 juta pelanggan kediaman dan PMKS, TM One dengan 8,800 perniagaan, dan TM Global dengan lebih 700 pelanggan tempatan dan serantau.
Perolehan Sebelum Faedah dan Cukai (EBIT) dilaporkan lebih rendah 15.5% kepada RM473.3 juta, daripada RM560.4 juta, berikutan keputusan Kumpulan untuk mempercepatkan susut nilai dan kemerosotan nilai aset IT, disebabkan perubahan keadaan pasaran.
Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan (PATAMI) turun 2.9% kepada RM330.1 juta daripada RM339.9 juta. Kos kewangan bersih yang lebih rendah dan kadar cukai berkesan yang lebih rendah daripada pengiktirafan aset cukai tertunda mengurangkan kesan EBIT yang lebih rendah ke atas keuntungan keseluruhan Kumpulan.
Perbelanjaan Modal (CAPEX) berjumlah 14.0% daripada hasil keseluruhan, atau RM413.1 juta. Sebahagian besar daripada pelaburan ini adalah untuk memperkukuh infrastruktur fiber, menyampaikan pemerolehan pelanggan baharu, pelaburan kabel dasar laut antarabangsa dan pelaksanaan rangkaian fiber 5G untuk memenuhi sasaran Kerajaan iaitu kadar liputan 80% menjelang akhir tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Dato’ Imri Mokhtar berkata, tahun 2023 dijangka menjadi tahun yang mencabar dengan perubahan dalam landskap kawal selia, peningkatan persaingan dan perubahan struktur pasaran yang lain.
Katanya, TM akan terus mengukuhkan perniagaan terasnya agar mampan secara komersial sebagai Syarikat Senaraian Awam (PLC) di samping terus menyumbang kepada pertumbuhan negara melalui peranannya sebagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
“Sebagai penyedia ketersambungan dan infrastruktur digital nasional, TM akan terus melaksanakan rancangan fiberisasi untuk menyokong program Jalinan Digital Nasional (JENDELA) Kerajaan serta pelaksanaan 5G di seluruh negara. TM berharap untuk terus memainkan peranan aktif dalam pelaksanaan 5G, memanfaatkan infrastruktur fibernya di seluruh negara, platform digital yang meluas (pusat-pusat data, nod-nod edge) dan pengalaman pelaksanaan.
“Kami kekal komited memasuki tahun akhir Program Transformasi 2021-2023 ini, dan akan meneruskan trajektori pertumbuhan seterusnya melangkaui tahun 2023.
"Selaras dengan perjalanan kami untuk menjadi sebuah TechCo berteraskan insan, kami juga telah mengumumkan pelancaran ibu pejabat baharu TM dan Kampus TM, yang terletak di Cyberjaya. Kampus ini akan berfungsi sebagai pemangkin untuk cara kerja baharu yang memacu ketangkasan dan fleksibiliti melalui kolaborasi digital dan persekitaran kerja hibrid, mendorong inovasi dalam kalangan anggota, pelanggan dan rakan usahasama kami.
“Kami akan terus menyokong usaha-usaha kelestarian dan berusaha untuk kemajuan yang berterusan. TM telah mengeluarkan laporan Pasukan Petugas Pendedahan Kewangan Berkaitan Iklim (Task Force on Climate-related Financial Disclosures – TCFD) kami yang pertama, 2 tahun lebih awal daripada keperluan Bursa Malaysia 2025. Laporan tersebut memfokus kepada meningkatkan ketelusan berkenaan implikasi kewangan daripada risiko-risiko dan peluang-peluang berkaitan iklim bagi sesebuah organisasi.
“Walaupun mengambil pendekatan berhati-hati dengan unjuran keseluruhan, kami tetap optimistik dengan prospek peningkatan kesalinghubungan hiper, pelaburan pertumbuhan berterusan dalam kesalinghubungan dan pendigitalan merentas semua segmen pelanggan. TM akan terus menggerakkan Digital Malaysia dengan menawarkan himpunan perkhidmatan komunikasi dan penyelesaian digital yang komprehensif dan memberi manfaat kepada komuniti, perniagaan dan Kerajaan.” - DagangNews.com








