KUALA LUMPUR 3 Mac - Firma penyelidikan MIDF Research menjangkakan perbelanjaan modal (capex) Telekom Malaysia Bhd (TM) kekal tinggi, untuk memacu tahap pertumbuhan seterusnya dan memenuhi komitmen di bawah agenda pendigitalan kerajaan.
MIDF Research berkata TM merancang untuk terus melabur dalam perbelanjaan modalnya, bukan sahaja dalam perniagaan terasnya tetapi juga melangkaui pertumbuhan organik untuk memastikan peningkatan berterusan merentas semua bidang perniagaan dalam kumpulan.
“Kami menganggarkan perbelanjaan capex adalah sekitar 18%-20% daripada hasil TM, secara maksimum, bersamaan dengan perbelanjaan tahun kewangan 2022 (FY2022).
"Di samping itu, pihak pengurusan menyatakan bahawa dasar dividen kekal utuh pada 60% daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (Patami),” katanya dalam satu nota.
Sebagai penyedia perkhidmatan gentian yang digemari, MIDF Research percaya TM akan meneruskan usahanya untuk mengembangkan penggunaan infrastruktur gentian 4G dan 5G, sambil bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan tempatan selaras dengan inisiatif Rangkaian Digital Nasional (Jendela) kerajaan.

Hakikat bahawa TM akan menyediakan perkhidmatan pajakan gentian 5G untuk keperluan infrastruktur 5G Digital Nasional Bhd (DNB) juga menunjukkan dedikasi TM terhadap perkongsian infrastruktur dan peranannya dalam memudahkan penyelesaian dan perkhidmatan tanpa wayar yang luar biasa.
“Secara keseluruhannya, kami mengekalkan syor ‘beli’ pada TM, dengan harga sasaran (TP) RM6.60.
Sementara itu, RHB Research berkata TM membelanjakan RM2.4 bilion pada FY2022 - tertinggi sejak FY2017.
Daripada jumlah itu, RM1.8 bilion adalah untuk teras dan rangkaian capaian. TM telah melancarkan akses jalur braod berkelajuan tinggi gentian (HSBA) kepada lebih 6.3 juta premis pada akhir 2022, menjelang komitmennya di bawah pelan Jendela.
“Kami menjangkakan momentum akan berterusan di bawah fasa kedua Jendela, yang mempunyai sasaran sembilan juta premis gentian menjelang 2025 (2022: 7.5 juta). Kami juga mengekalkan panggilan ‘beli’ ke atas TM, dengan harga sasaran RM6.20.
Sementara itu, Kenanga Research telah mengekalkan ramalannya, yang secara konservatif mengandaikan pertumbuhan hasil sederhana sebanyak 1% untuk FY2023.
"Ia didorong daripada penyederhanaan harga jalur lebar, dikurangkan oleh pertumbuhan pelanggan yang lebih tinggi disebabkan harga yang kompetitif," kata firma tersebut. - DagangNews.com








