Tiga daripada lima rakyat Malaysia bimbang hilang pekerjaan - kajian Randstad | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiga daripada lima rakyat Malaysia bimbang hilang pekerjaan - kajian Randstad

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 April - Pekerja di Malaysia menyuarakan kebimbangan tentang kestabilan kewangan dan pekerjaan mereka berlatarkan ekonomi yang semakin lemah, sarat dengan penstrukturan semula perniagaan di seluruh dunia, meningkatkan kos operasi serta kadar faedah yang tinggi, menurut kajian Randstad Malaysia.

 

Randstad dalam kenyataan berkata, sebanyak 60% responden dalam tinjauan bimbang kehilangan pekerjaan mereka.

 

Katanya, hampir tiga daripada lima responden menyatakan mereka tidak akan menerima pekerjaan jika tidak ditawarkan kontrak secara sah sebagai pekerja kepada organisasi.

 

"Ini adalah antara hasil Pemantauan Kerja Randstad 2023 di Malaysia, yang menonjolkan sentimen dan persepsi terkini tenaga kerja terhadap pasaran kerja tempatan.

 

"Walaupun 80% responden bimbang tentang bagaimana ketidaktentuan ekonomi akan memberi kesan kepada kehidupan mereka, 86% mengekalkan keyakinan yang kukuh terhadap majikan mereka untuk memberi mereka keselamatan," katanya.

 

Pengarah Negara Randstad Malaysia, Fahad Naeem berkata, majikan yang mengambil langkah untuk menyokong dan memahami pekerja mereka adalah lebih berharga dan menarik kepada pencari kerja berbanding sebelum ini.

 

“Langkah-langkah seperti menyediakan subsidi sementara untuk perbelanjaan kerja harian atau kursus celik kewangan boleh membuat perubahan besar, membolehkan pekerja membuat belanjawan secara bertanggungjawab, dan mengekalkan tahap keselamatan dan kestabilan dalam kehidupan mereka,” katanya.

 

 

randstad

 

 

Dalam kaji selidik itu, 65% responden berkata bahawa mereka tidak akan menerima tawaran kerja baharu jika ia tidak menawarkan kenaikan gaji yang ketara.

 

Sebanyak 38% responden berhenti kerja kerana gaji yang rendah, dan 34% memikirkan untuk meletakkan jawatan, supaya mereka boleh mencari pekerjaan dengan gaji yang lebih baik disebabkan peningkatan kos sara hidup.

 

Sementara itu, 80% responden mengatakan bahawa kedudukan kewangan menghalang mereka daripada bersara seawal yang mereka mahu.

 

Berdasarkan situasi semasa mereka, 39% responden berkata mereka perlu bekerja melebihi umur persaraan minimum berkanun iaitu 60 tahun di Malaysia.

 

Kira-kira satu daripada tiga responden (32%) mahu menangguhkan persaraan mereka bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup. - DagangNews.com