Tien-Long Woon dilantik sebagai Pengarah Urusan FedEx Express Malaysia baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tien-Long Woon dilantik sebagai Pengarah Urusan FedEx Express Malaysia baharu

Tien-Long Woon
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - FedEx Express melantik Tien-Long Woon sebagai Pengarah Urusan FedEx Express Malaysia baharu bagi menggantikan Siang-Chung Chong yang bersara selepas 19 tahun berkhidmat dengan cemerlang dengan syarikat itu,

 

Syarikat pengangkutan ekspres itu dalam satu kenyataan berkata, Tien-Long menyertai FedEx Express Malaysia pada 2010 sebagai Jurutera Kanan Perancangan dan Kejuruteraan. 

 

Katanya, beliau dinaikkan pangkat kepada Pengurus Kanan Operasi pada 2015 dan bertanggungjawab untuk pembangunan perniagaan di wilayah utara dan timur negara.

 

"Pada 2019, Tien-Long dilantik sebagai Pengarah Urusan FedEx Express Thailand, yang mana beliau mengetuai peningkatan perkhidmatan utama. 

 

"Ini termasuk memperkenalkan kenderaan penghantaran elektrik pertama dengan sifar pelepasan paip ekor dan inisiatif kemampanan untuk mengitar semula pakaian seragam kurier," katanya.

 

Tambah kenyataan itu, beliau memainkan peranan penting dalam mengukuhkan budaya pasukan, yang telah membantu syarikat memperoleh gelaran "Syarikat Terbaik untuk Bekerja di Asia" pada 2021 dan 2022.

 

Katanya, menerusi peranan baharunya, Tien-Long akan mengetuai pasukan terdiri daripada hampir 900 ahli pasukan di Malaysia, termasuk terus menyelia operasi FedEx di Thailand sehingga penggantinya diumumkan.

 

"FedEx komited untuk menyokong perniagaan Malaysia, termasuk perusahaan kecil dan sederhana, serta memudahkan peluang e-dagang rentas sempadan bagi membantu perniagaan mengembangkan jejak global mereka," katanya. - DagangNews.com