KUALA LUMPUR 20 Feb - TH Properties Sdn Bhd melancarkan projek perumahan dan komersial terbaru kumpulan tersebut iaitu Pristine Premier dan Riposo Biz Centre, sempena penganjuran Karnival Hartanah Bandar Enstek, Negeri Sembilan.
Kumpulan itu berkata, kedua-dua projek yang terletak di Bandar Enstek itu dijangka mendapat sambutan baik daripada pembeli dan pelabur hartanah yang mengidamkan hartanah berkualiti pada harga berpatutan.
Katanya, Pristine Premier yang terdiri daripada 51 unit rumah teres dua tingkat, merupakan fasa terakhir projek Pristine, dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM19.18 juta.
"Pembangunan ini menampilkan landskap berinspirasikan alam semula jadi dan reka bentuk seni bina kontemporari dengan pelbagai pilihan saiz daripada 20 x 80, 22 x 77 sehingga 22 x 90; serta pilihan keluasan dari 1,662 kaki persegi hingga 1,829 kaki persegi.
"Dengan tawaran harga bermula dari RM571,295 hingga RM863,160, projek perumahan yang terletak di tengah perbandaran maju dan mapan ini menampilkan gabungan harga mampu milik dan keselesaan yang tiada tandingan," katanya dalam kenyataan media di sini.
Ketua Jabatan Operasi TH Properties, Amri Shaari berkata, konsep dan ciri-ciri reka bentuk yang dibina di dalam rumah berkenaan adalah selari dengan permintaan pasaran.
"Tiga fasa projek Pristine sebelum ini telah habis dijual sepenuhnya dan kami menjangkakan pelancaran projek baru ini akan turut diterima baik oleh para pembeli," katanya.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah TH Prop, Datuk Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar berkata, projek baharu itu melambangkan komitmen Kumpulan TH Prop untuk mencipta nilai berkekalan dan memberikan pengalaman hidup yang menyeluruh.
"Karnival Hartanah Bandar Enstek ini bukan hanya berkisar sekitar hartanah semata-mata. Ia juga meraikan komuniti dan keterlibatan masyarakat," katanya.
Selain itu, TH Properties turut melancarkan enam kedai pejabat Riposo Biz Centre di karnival tersebut.
Kedai pejabat dua tingkat itu didatangkan dengan keluasan dari 2,926 kaki persegi sehingga 4,798 kaki persegi serta harga bermula dari RM927,500 sehingga RM1,571,700.
Karnival tersebut juga menawarkan insentif istimewa untuk 20 pembeli terawal yang melayakkan mereka mendapat baucar Ikea bernilai RM3,500. - DagangNews.com








