TAIPING 4 Ogos - Zoo Taiping menjadi lokasi baharu dalam senarai laluan bas Hop-On Hop-Off (HOHO) yang menawarkan pengalaman baharu kepada pelawat untuk meneroka tarikan utama di sekitar bandar warisan Taiping.
Pemilihan Zoo Taiping ini sebagai salah satu destinasi ikonik antara pengisian baharu sempena sambutan Ulang Tahun ke-64 Zoo Taiping & Safari Malam.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, para pelawat juga boleh meneroka tarikan utama di sekitar Taiping secara lebih santai.
Menurut beliau, banyak pengisian menarik disediakan sepanjang sambutan itu yang mana program utama bakal dianjurkan ialah Sambutan Hari Orang Utan Sedunia pada 30 Ogos.

“Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman kepupusan yang dihadapi oleh spesies orangutan serta usaha pemuliharaan yang sedang dilaksanakan.
“Selain itu, Zoorama 2025 akan berlangsung dari 13 hingga 21 September depan, menampilkan pelbagai aktiviti interaktif, pameran pendidikan dan pertunjukan berkaitan hidupan liar untuk seisi keluarga.
“Pada Oktober pula, Taiping Bird Week yang berlangsung dari 10 hingga 12 Oktober.
“Ia memberi tumpuan kepada dunia burung serta ekosistemnya, selaras dengan peranan Taiping sebagai destinasi penting dalam laluan migrasi burung antarabangsa.


“Seterusnya, iCare Pharmacy Run pada 26 Oktober yang menggabungkan elemen kecergasan, kesihatan dan alam semula jadi,” ujarnya dalam kenyataan
Zoo Taiping & Safari Malam mempunyai nilai sejarah yang amat signifikan kerana ia merupakan zoo pertama yang diwujudkan di Malaysia iaitu sejak tahun 1961.
Ia juga satu-satunya zoo di negara ini yang menawarkan pengalaman melawat pada waktu malam dalam suasana yang menyerupai habitat semula jadi mereka.
Inisiatif ini bukan sahaja menambah nilai tarikan pelancongan, malah memberi kefahaman tentang tabiat haiwan nokturnal.

Selain itu, Zoo Taiping juga memainkan peranan aktif dalam bidang pemuliharaan, termasuk pembiakan spesies terancam di luar habitat asal dengan kerjasama institusi penyelidikan.
Ini termasuk spesies seperti harimau Malaya, gajah Asia dan tapir yang merupakan khazanah kebangsaan. - DagangNews.com








