AGMO, SNS Network gabung kepakaran dalam perkhidmatan AI dan infrastruktur digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AGMO, SNS Network gabung kepakaran dalam perkhidmatan AI dan infrastruktur digital

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Jun – Agmo Holdings Bhd dan SNS Network Technology Bhd memeterai perjanjian kerjasama strategik bagi mengkomersialkan perkhidmatan infrastruktur unit pemprosesan grafik (GPU) dan rumusan kecerdasan buatan (AI) kepada pelanggan akhir.

 

Kerjasama itu dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuh masing-masing, Agmo Studio Sdn Bhd dan SNS Network (M) Sdn Bhd yang menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Infrastruktur GPU dan Rakan Pengedar pada 11 Jun 2026.

 

Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, kedua-dua syarikat itu berkata perjanjian tersebut adalah susulan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada Jun 2024 dan diperbaharui beberapa kali sebelum ini bagi meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan AI dan infrastruktur digital.

 

Di bawah perjanjian itu, Agmo Studio akan menyediakan lapisan perisian AI termasuk rangka kerja penggunaan model AI, integrasi API serta perkhidmatan pengurusan aplikasi, selain mengurus pelaksanaan dan operasi aplikasi pelanggan menggunakan infrastruktur GPU yang disediakan oleh SNS Network.

 

Sementara itu, SNS Network akan menyediakan infrastruktur GPU, termasuk pemasangan sistem dan kemudahan pusat data selain menawarkan perkhidmatan penyewaan GPU bagi menyokong pelaksanaan perkhidmatan AI kepada pelanggan.

 

Agmo Studio turut diberikan hak bukan eksklusif untuk memasarkan, mengedar dan menjual semula perkhidmatan infrastruktur GPU kepada pelanggan akhir, manakala SNS Network kekal sebagai penyedia rasmi infrastruktur bagi semua perkhidmatan yang ditawarkan di bawah kerjasama berkenaan.

 

AGMO berkata, perjanjian itu sejajar dengan perancangan kumpulan untuk memperluaskan perkhidmatan dipacu AI menerusi kerjasama dengan rakan strategik, selaras dengan peningkatan permintaan terhadap teknologi AI dalam pelbagai sektor ekonomi.

 

Perjanjian tersebut berkuat kuasa selama 12 bulan dari tarikh perkhidmatan dimulakan dan boleh dilanjutkan bagi tempoh selanjutnya tertakluk kepada persetujuan bertulis kedua-dua pihak.

 

Bagaimanapun, terma komersial termasuk harga perkhidmatan, syarat pembayaran dan mekanisme perkongsian hasil masih belum dimuktamadkan dan akan dipersetujui secara berasingan oleh kedua-dua pihak pada masa hadapan.

 

AGMO berkata, kumpulan tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa daripada kerjasama tersebut selain risiko operasi biasa yang lazim dikaitkan dengan kerjasama strategik dan percaya pengalaman serta kepakaran pasukan pengurusannya mampu menguruskan risiko berkenaan dengan berkesan. - DagangNews.com