Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura bakal tawar gaji minimum RM4,000 - Onn Hafiz | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura bakal tawar gaji minimum RM4,000 - Onn Hafiz

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Julai – Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) bakal menawarkan kadar gaji minimum yang lebih kompetitif termasuk RM4,000 untuk graduan, kata Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

Beliau berkata, ketika ini kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan sedang giat mengadakan sesi libat urus dengan pelabur dan syarikat di JS-SEZ  untuk mencapai matlamat itu.

 

"Ia adalah antara fokus utama yang sedang diperincikan oleh Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) sebagai salah satu inisiatif strategik kerajaan negeri.

 

"Langkah ini penting bagi memastikan kesejahteraan pekerja tempatan terus terbela, selain menarik minat bakat-bakat berkualiti tinggi untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri Johor," katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi miliknya.

 

ARTIKEL BERKAITAN Johor diyakini mampu raih pelaburan cecah RM100 bilion menjelang akhir 2025, kata MB

 

Selain itu, beliau turut memaklumkan Kerajaan negeri mengambil serius isu bekalan air bersih degan mendapatan sokongan Kerajaan Persekutuan meluluskan pelbagai projek infrastruktur baharu.

 

Beliau berkata, tambahan kapasiti agihan air terawat khususnya di kawasan strategik seperti JS-SEZ adalah agenda utama kerana ia menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi baharu di Johor.

 

“Perancangan pembangunan sumber air mentah berskala besar sehingga 2,000 juta liter sehari (JLH) menjelang tahun 2060 turut membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam menjamin kelangsungan bekalan air kepada rakyat dan sektor industri," katanya.

 

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memastikan segala pelaksanaan projek berjalan lancar, telus dan berimpak tinggi demi manfaat seluruh Bangsa Johor.

 

"Semoga segala usaha ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan segala aspirasi besar di bawah Agenda Maju Johor 2030 dapat direalisasikan demi kemajuan negeri yang seimbang, mampan dan inklusif, Insya-Allah," katanya- DagangNews.com