Zetrix & pusat penyelidikan teknologi China perkenal Avatar, transformasi AI ke arah ejen digital pintar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Zetrix & pusat penyelidikan teknologi China perkenal Avatar, transformasi AI ke arah ejen digital pintar

Ketua Pegawai Al Zetrix CZ Wong memperkenalkan Avatar di Persidangan Internet Dunia Asia Pasifik di Hong Kong
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 April – Zetrix AI Berhad bersama China Academy of Information and Communications Technology memperkenalkan satu protokol kepercayaan berasaskan rantaian blok bagi ejen kecerdasan buatan (AI) yang menyasarkan pembentukan asas kepada ekonomi agentik yang sedang berkembang.

 

Inisiatif itu diperkenalkan menerusi platform dikenali sebagai Avatar, yang berfungsi sebagai infrastruktur untuk membolehkan ejen AI beroperasi secara autonomi dengan identiti yang disahkan serta akses kepada kelayakan dan aset digital.

 

Pelancaran tersebut dibuat sempena Persidangan Internet Dunia Asia Pasifik di Hong Kong sebagai satu lagi langkah baharu dalam evolusi penggunaan AI daripada sekadar chatbot kepada sistem yang mampu bertindak bagi pihak individu dan syarikat.

 

Melalui Avatar, pengguna boleh mencipta “kembar digital” berasaskan AI yang dilatih mengikut personaliti, pengetahuan, citarasa serta gaya komunikasi mereka bagi melaksanakan pelbagai tugasan secara dalam talian.

 

Ejen AI ini berupaya berinteraksi dengan pengguna lain, sistem digital serta ejen AI lain bagi menjalankan fungsi seperti rundingan, penyelarasan kerja dan pengurusan operasi tanpa memerlukan campur tangan manusia secara langsung.

 

Platform tersebut turut diperkukuh oleh lapisan identiti yang disahkan, membolehkan setiap ejen AI mempunyai pengesahan jelas terhadap pihak yang diwakilinya serta skop kebenaran yang diberikan.

 

Dibina berasaskan kerangka hibrid OpenClaw serta integrasi rantaian blok Astron dan Zetrix, Avatar membolehkan akses kepada kelayakan boleh disahkan termasuk identiti digital, kelayakan profesional dan aset dalam ekosistem Web3.

 

Naib Presiden Astron CAICT, You Xiao Yu berkata, AI agentik itu bakal menjadi asas kepercayaan bagi interaksi digital autonomi pada masa hadapan.

 

Menurutnya, apabila ejen AI mula bertindak bagi pihak manusia dan organisasi, keperluan terhadap sistem yang selamat serta boleh dipercayai tidak lagi boleh dikompromi.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix AI, TS Wong berkata, kemunculan ejen yang mewakili pengguna akan mencetuskan gelombang baharu tugasan agentik yang memerlukan pengesahan identiti serta akses kepada bukti kelayakan digital.

 

“Keupayaan tersebut penting bagi memastikan setiap transaksi dan interaksi yang dilaksanakan oleh ejen AI dapat disahkan serta dilindungi dalam persekitaran digital.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai AI Zetrix dan arkitek Avatar, CZ Wong menjelaskan teknologi itu membuka ruang kepada pelbagai mod interaksi termasuk penggunaan dalam sektor korporat, profesional dan industri kreatif.

 

Dalam konteks perusahaan, Avatar dilihat berpotensi menggantikan laman web statik dengan ejen korporat autonomi yang mampu mencari prospek, menyesuaikan komunikasi serta melaksanakan jangkauan pelanggan secara berterusan.

 

Platform Avatar yang dibangunkan oleh Zetrix AI Berhad menyasarkan pelbagai kegunaan merentas segmen pengguna. Bagi golongan eksekutif dan profesional, avatar AI boleh membantu proses orientasi pekerja baharu, menjawab soalan strategik serta memelihara pengetahuan institusi tanpa bergantung kepada masa atau kehadiran individu. 

 

Dalam masa sama, selebriti dan personaliti boleh memanfaatkan teknologi ini untuk mengendalikan interaksi peminat dan urusan komersial secara serentak pada skala besar.

 

Bagi pencipta kandungan dan pempengaruh, Avatar dilihat sebagai enjin penjanaan pendapatan baharu berasaskan AI, membolehkan mereka mengurus komuniti berbayar, menyampaikan kandungan khusus serta memperluaskan aktiviti komersial tanpa kekangan masa.

 

Untuk syarikat pula, teknologi ini berpotensi mengubah model operasi digital dengan menggantikan laman web statik kepada ejen korporat autonomi yang mampu mencari prospek, menyesuaikan mesej dan berinteraksi dengan pelanggan secara berterusan.

 

Sementara itu, bagi pengguna individu, Avatar menawarkan keupayaan mewujudkan lanjutan diri dalam bentuk digital yang lebih pintar dan berkeupayaan tinggi. Ejen ini boleh dilatih berdasarkan pengetahuan serta keutamaan pengguna bagi membantu pelbagai tugasan, malah berpotensi menjadi legasi digital yang boleh diwarisi. 

 

Dalam ekosistem lebih luas, interaksi ejen-ke-ejen (A2A) dijangka menjadi pemacu utama, di mana avatar boleh berunding, bekerjasama dan berurus niaga sesama sendiri, dengan rantaian blok berfungsi sebagai lapisan kepercayaan dan pengesahannya. - DagangNews.com