Zetrix AI wakili ASEAN dalam World Data Organization, fokus kerjasama teknologi pintar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Zetrix AI wakili ASEAN dalam World Data Organization, fokus kerjasama teknologi pintar

Pengarah Urusan Zetrix AI, TS Wong (lima dari kanan) di majlis pelancaran WDO di Beijing - Gambar Zetrix AI
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Mac – Zetrix AI Berhad  mengumumkan penglibatannya sebagai salah satu antara pengasas World Data Organization (WDO), sebuah badan antarabangsa yang ditubuhkan untuk memanfaatkan data global secara pintar dan bertanggungjawab.

 

Zetrix AI akan mewakili ASEAN dalam majlis sulung WDO dan memainkan peranan aktif dalam membangunkan platform kerjasama data global.

 

WDO yang berpangkalan di Beijing, dilancarkan secara rasmi pada 30 Mac 2026 dengan tema membina platform kerjasama data dan berkongsi peluang pembangunan digital. 

 

Pertubuhan itu mengumpulkan syarikat, universiti, pusat pemikir, organisasi antarabangsa dan institusi kewangan dari seluruh dunia.

 

Fokus utama WDO termasuk menangani polisi data yang tidak konsisten antara negara, menetapkan cadangan piawaian dan amalan terbaik, serta membantu syarikat multinasional mengurangkan kos pematuhan.

 

Selain itu, WDO bertujuan menggalakkan penggunaan data dalam sektor sebenar seperti kesihatan, pendidikan, dan tenaga. Ia juga memberi tumpuan kepada pembangunan bakat di negara sedang membangun bagi merapatkan jurang digital global.

 

Presiden China, Xi Jinping dalam majlis pelancaran itu menyokong penuh inisiatif tersebut kerana data kini menjadi sumber penting dan enjin inovasi dalam era digital. 

 

Beliau berkata WDO dapat memperkukuh kerjasama antarabangsa serta memastikan aliran data global berlaku secara selamat dan teratur.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Zetrix AI, TS Wong berkata data kini menjadi faktor pengeluaran baharu yang sangat bernilai dan melalui penglibatan dalam WDO, nilai data global boleh dibuka sepenuhnya, membolehkan AI menjalankan tugas dengan lebih tepat dan efisien.

 

“Zetrix AI mempunyai sejarah kerjasama dengan pelbagai entiti terkemuka di China, termasuk China Academy of Information and Communications Technology, General Administration of China Customs, dan Guangxi Beitou IT Innovation Technology Investment Group, terutamanya dalam rantaian blok, perdagangan rentas sempadan serta pengesahan identiti digital.

 

Melalui ASEAN China AI Lab, Zetrix AI memacu kerjasama antara ASEAN dan China dalam pembangunan AI, rantaian blok dan robotik. Syarikat ini juga merancang untuk menubuhkan pasaran data global, memanfaatkan aset data yang belum diteroka sepenuhnya.

 

Langkah ini dijangka memperkukuh kedudukan Zetrix AI sebagai penyedia perkhidmatan digital terkemuka di ASEAN dan memberi peluang baru dalam ekonomi digital global, sejajar dengan visi syarikat untuk memacu inovasi melalui teknologi pintar dan rantaian blok. - DagangNews.com