Zen Tech tukar pegangan dalam anak syarikat untuk kepentingan dalam Hiasset | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Zen Tech tukar pegangan dalam anak syarikat untuk kepentingan dalam Hiasset

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Julai – Zen Tech International Bhd telah memeterai satu perjanjian dengan ahli perniagaan, Lee Kang Aik melibatkan pertukaran 40 peratus kepentingan sahamnya dalam anak syarikat Alpha Fintech Sdn Bhd dengan 40 peratus pegangan dalam Hiasset Group Sdn Bhd.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat pembuatan teknologi maklumat (IT) dan sarung tangan itu berkata, urus niaga bernilai RM3.5 juta itu tidak melibatkan sebarang aliran tunai dan akan dilaksanakan sepenuhnya melalui pertukaran saham antara kedua-dua pihak.

 

Di bawah perjanjian tersebut, Zen Tech akan memindahkan sebanyak 2.38 juta saham dalam Alpha Fintech kepada ahli perniagaan itu yang juga pengarah dan pemilik tunggal Hiasset. 

 

Jumlah itu bersamaan dengan 40 peratus daripada modal diterbitkan Alpha.

 

Sebagai balasan, Kang Aik akan memindahkan dua juta saham dalam Hiasset kepada Zen Tech yang mewakili 40 peratus pegangan dalam syarikat tersebut.

 

Pertukaran saham itu dibuat susulan kegagalan Alpha mencapai jaminan keuntungan sebanyak RM2.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 seperti yang dipersetujui dalam perjanjian terdahulu antara Zen Tech dan pemegang saham Alpha, Koh Chee Siong.

 

Zen Tech menjelaskan menerusi pertukaran tersebut syarikat tidak perlu menanggung sebarang kerugian yang timbul dan menyifatkan urus niaga itu sebagai penyelesaian bukan tunai yang sejajar dengan kepentingan bersama pihak-pihak terlibat.

 

Ketika ini, Zen Tech memiliki 70 peratus kepentingan dalam Alpha. 

 

Selepas urus niaga selesai, pegangan tersebut akan berkurang kepada 30 peratus, manakala Kang Aik akan menjadi pemegang saham terbesar dalam Alpha dengan 40 peratus pegangan.

 

Hiasset, yang sebelum ini dimiliki sepenuhnya oleh Kang Aik akan dimiliki sebanyak 40 peratus oleh Zen Tech selepas pertukaran saham dimuktamadkan. 

 

Walaupun masih belum berkuatkuasa, Hiasset dijangka memainkan peranan strategik dalam kumpulan Zen Tech sebagai platform khusus bagi penjualan dan pemasaran produk serta perkhidmatan Alpha.

 

“Pertukaran saham yang dicadangkan bukan sahaja mengurangkan risiko komersial berikutan prestasi Alpha yang kurang memberangsangkan, malah membolehkan kumpulan menyusun semula sumber strategiknya melalui Hiasset demi meningkatkan kecekapan operasi dan penciptaan nilai jangka panjang," kata Zen Tech.

 

Zen Tech menjelaskan tiada liabiliti baharu yang akan ditanggung kecuali yang timbul dalam urusan perniagaan biasa. 

 

"Urus niaga ini juga tidak akan memberi kesan kepada modal saham atau kepentingan pemegang saham utama kerana tiada saham baharu akan diterbitkan," katanya.

 

Pertukaran saham itu dijangka dimuktamadkan menjelang 31 Julai depan bergantung kepada kelulusan kawal selia pihak berkaitan dan perkembangan semasa.

 

Syarikat turut menjelaskan persetujuan pemegang saham tidak diperlukan memandangkan Alpha tidak dikategorikan sebagai anak syarikat utama. - DagangNews.com