Zelan mohon perintah sekatan mahkamah, rancang skim penstrukturan hutang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Zelan mohon perintah sekatan mahkamah, rancang skim penstrukturan hutang

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 Okt – Zelan Bhd bersama dua anak syarikatnya, Zelan Holdings (M) Sdn Bhd dan Zelan Construction Sdn Bhd, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah sekatan serta kebenaran untuk memanggil mesyuarat pemiutang bagi mempertimbangkan cadangan skim pengaturan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memberitahu permohonan tersebut dikemukakan pada 2 Oktober 2025 di bawah Seksyen 366 dan 368 Akta Syarikat 2016.

 

 

 

 

 

 

 

 

Sekiranya diluluskan, perintah sekatan tersebut akan memberi perlindungan kepada kumpulan daripada tindakan undang-undang seperti petisyen penggulungan syarikat, pelantikan penerima, penguatkuasaan sekuriti dan prosiding lain, untuk tempoh sehingga dua bulan, atau sehingga keputusan muktamad dicapai oleh mahkamah.

 

Zelan menjelaskan langkah ini diambil untuk memberikan ruang kepada syarikat memuktamadkan serta mencadangkan skim pengaturan yang sesuai kepada para pemiutang. 

 

Satu penyata penjelasan berserta terma-terma terperinci akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

 

“Perintah sekatan ini tidak menghalang kumpulan daripada melaksanakan operasi harian seperti biasa dan dijangka dapat mengurangkan gangguan yang mungkin timbul akibat prosiding undang-undang semasa rundingan bersama pemiutang sedang dijalankan,” kata syarikat itu.

 

 

 

 

 

 

 

Zelan turut mengakui langkah ini mungkin mencetuskan hak pihak kontrak untuk menyemak semula kontrak sedia ada bersama kumpulan, namun menegaskan bahawa permohonan ini tidak dijangka membawa kesan kewangan atau operasi yang material terhadap syarikat dan anak syarikatnya.

 

“Kumpulan akan terus berhubung dengan pihak berkepentingan yang terlibat dan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengurangkan sebarang risiko yang mungkin timbul,” tambah kenyataan itu. - DagangNews.com