KUALA LUMPUR 14 Julai – YTL Hospitality REIT berpeluang tinggi menerima suntikan dana melibatkan sejumlah 18 hotel daripada penajanya dalam tempoh terdekat, menurut analisis CGS International (CGSI).
Perkembangan itu dijangka membuka pertumbuhan hasil lebih besar ketika sektor pelancongan global kembali pulih, serta mengukuhkan lagi prestasi dana amanah pelaburan hartanah (REIT) tersebut.
Tambah firma penyelidikan berkenaan, kumpulan itu namun masih perlu berdepan isu turun naik kadar pertukaran mata wang asing (forex), ketidaktentuan industri pelancongan serta risiko kadar faedah.
"Justeru kami memulakan liputan ke atas YTL Hospitality REIT dengan saranan 'tambah' dan harga sasaran (TP) RM1.18, sambil berpandangan penilaian saham semasa berada pada paras diskaun," kata CGSI.
Ujarnya, kumpulan itu menawarkan pulangan dividen stabil serta pertumbuhan agihan pendapatan (DPU) dari FY26 hingga FY28, dipacu portfolio aset hospitaliti premium di Malaysia, Australia dan Jepun.
Ia mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) DPU sebanyak 8% bagi tempoh FY25 hingga FY28, manakala TP menggambaran dividen 7.8% bagi FY27, yang disifatkannya cukup menarik.

Penilaian saham YTL Hospitality REIT ujar CGSI, dilihat tidak mencerminkan prospek sebenar apabila diniagakan agak rendah pada nisbah harga kepada nilai buku (P/BV) unjuran FY26 sebanyak 0.6 kali.
"Sentimen berhati-hati pelabur ketika ini disebabkan pergantungan kepada aset pajakan induk yang ada pertumbuhan sewa lebih perlahan dan kebimbangan turun naik prestasi syarikat di Australia," tambahnya.
Bagaimanapun, firma itu berpandangan isu tersebut tidak mengambil kira pertumbuhan kumpulan yang semakin baik menerusi kenaikan kadar sewa berjadual, dan potensi suntikan aset daripada penaja.
CGSI menganggarkan inisiatif pertumbuhan organik mampu menambah pendapatan operasi bersih (NPI) tahunan YTL Hospitality REIT sebanyak RM42.5 juta, atau 14% daripada unjuran NPI bagi FY26.
Suntikan ke atas 18 hotel dengan lebih 2,000 bilik itu berpotensi mempercepatkan pertumbuhan DPU dan menjadi pemangkin penilaian semula saham kumpulan REIT ini dalam beberapa tahun akan datang.
"Kami menjangka kumpulan terus mendapat manfaat daripada pemulihan pelancongan global susulan pengurangan ketegangan geopolitik di Timur Tengah dan impak Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.
Prestasi YTL Hospitality REIT ujar CGSI, namun tetap bergantung kepada isu industri pelancongan, pergerakan forex serta risiko kenaikan kadar faedah yang tidak dijangka. - DagangNews.com








