Selangor perkenal program baharu bantu PKS tempatan ke pasaran global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Selangor perkenal program baharu bantu PKS tempatan ke pasaran global

Melalui program berkenaan, PKS terpilih akan menerima bimbingan bagi memperkukuh keupayaan perniagaan, meningkatkan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa serta membuat persediaan untuk menembusi pasaran serantau dan global
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Julai – Kerajaan Negeri Selangor melancarkan Program Jalinan Perniagaan dan Pemerkasaan Perniagaan (BLAST) bagi mempercepatkan pembangunan keupayaan serta daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menyertai rantaian bekalan global bernilai tinggi.

 

Program itu dilaksanakan menerusi agensi promosi pelaburannya, Invest Selangor Berhad dengan matlamat memastikan syarikat tempatan mampu memanfaatkan peluang daripada pertumbuhan pelaburan yang diterima negeri itu.

 

BLAST memberi tumpuan kepada usaha menghubungkan PKS tempatan dengan syarikat multinasional (MNC), syarikat peringkat pertengahan (MTC) serta syarikat peneraju industri bagi membolehkan mereka meningkatkan keupayaan operasi dan mengambil bahagian dalam rantaian bekalan bernilai tinggi.

 

Melalui program berkenaan, PKS terpilih akan menerima bimbingan bagi memperkukuh keupayaan perniagaan, meningkatkan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa serta membuat persediaan untuk menembusi pasaran serantau dan global.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata usaha tersebut mencerminkan komitmen berterusan Selangor untuk memastikan pelaburan berskala besar yang masuk ke negeri itu turut menghasilkan peluang ekonomi yang mampan kepada komuniti perniagaan tempatan, khususnya golongan PKS.

 

Beliau berkata Selangor kini terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama Malaysia selepas merekodkan pelaburan diluluskan bernilai RM33.5 bilion pada suku pertama 2026.

 

12 PKS Terpilih Sertai Program Enam Bulan

Menurutnya, prestasi itu disokong pencapaian ekonomi negeri pada 2025 apabila Selangor mencatatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM460.1 bilion, menyumbang 26.5% kepada KDNK negara, iaitu sumbangan tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

 

“Program BLAST akan berlangsung selama enam bulan menerusi modul pembangunan keupayaan, bimbingan korporat dan inisiatif persediaan pasaran bagi membantu PKS meningkatkan tahap kesediaan industri

 

“Bagi kumpulan pertama, seramai 12 PKS telah dipilih untuk menyertai program itu dengan masing-masing tiga syarikat mewakili empat sektor strategik iaitu aeroangkasa, rel, sains hayat dan teknologi digital,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Program itu turut menampilkan pendekatan berbeza berbanding padanan perniagaan biasa kerana BLAST memberi penekanan kepada pembentukan kerjasama jangka panjang antara PKS dengan syarikat peneraju, bukannya sekadar pertemuan perniagaan sekali sahaja.

 

Menerusi pendekatan tersebut, PKS akan dibantu untuk menaik taraf operasi, memahami keperluan industri besar, memenuhi piawaian antarabangsa serta memperluaskan peluang perniagaan di peringkat serantau dan global.

 

Sesi padanan perniagaan khusus antara PKS terbabit dengan rakan industri akan diadakan semasa Selangor International Business Summit (SIBS) 2026 yang dijadual berlangsung pada 14 hingga 17 Oktober 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

 

Tambahnya, kejayaan Selangor dalam menarik pelaburan bukan hanya dinilai berdasarkan nilai pelaburan yang diterima, tetapi juga sejauh mana pelaburan tersebut mampu memberikan manfaat kepada syarikat tempatan.

 

“BLAST bukan sekadar menghubungkan PKS dengan rakan kongsi korporat strategik, tetapi ia bertujuan menyediakan mereka untuk mencapai kejayaan dengan memperkukuh keupayaan serta menghubungkan mereka kepada rantaian bekalan bernilai tinggi,” katanya.

 

MTDC Perkukuh Pembangunan Kapasiti PKS

Program itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), yang akan mengetuai pengurusan dan pelaksanaan pembangunan kapasiti PKS bersama rakan korporat serta pemain ekosistem industri.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Ts Mohammad Hazani Hassan berkata BLAST akan menyediakan laluan tersusun kepada PKS berpotensi untuk berhubung dengan syarikat peneraju, meningkatkan tahap kesediaan industri dan bersaing mendapatkan peluang dalam rantaian bekalan strategik.

 

Beliau berkata, melalui kepakaran dalam bimbingan, pemindahan pengetahuan dan jaringan institusi, kerjasama antara MTDC dan Invest Selangor mampu memperkukuh ekosistem industri negeri serta meningkatkan daya saing perusahaan tempatan.

 

Melalui pelaksanaan BLAST, Invest Selangor menyasarkan pertumbuhan hasil minimum sebanyak 5% dalam kalangan PKS yang menyertai program itu menjelang 2030, selain membangunkan ekosistem ekonomi Selangor yang lebih berdaya tahan, bersepadu dan mampan.

 

Sejak 1999, Invest Selangor telah memudah cara lebih 7,069 projek pembuatan yang menyumbang kepada penciptaan 508,316 pekerjaan serta menarik lebih RM256.6 bilion pelaburan, sekali gus mengukuhkan peranan agensi itu dalam pembangunan ekonomi negeri. - DagangNews.com