Yinson nafi terlibat perbincangan dengan pihak ketiga berhubung cadangan pengambilalihan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yinson nafi terlibat perbincangan dengan pihak ketiga berhubung cadangan pengambilalihan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Mac - Yinson Holdings Bhd menafikan terlibat dalam sebarang perbincangan dengan pihak ketiga berhubung cadangan pengambilalihan, susulan laporan media yang mendakwa wujud usaha pembelian oleh kumpulan disokong Stonepeak.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu menjelaskan tiada rundingan sedang dijalankan di peringkat syarikat berkaitan sebarang urus niaga pengambilalihan.

 

Bagaimanapun, selepas berunding dengan pemegang saham utamanya, Yinson Legacy Sdn Bhd (YLSB), syarikat dimaklumkan bahawa pihak tersebut kini sedang berbincang dengan beberapa pihak berhubung cadangan korporat berpotensi melibatkan pegangan saham mereka dalam Yinson.

 

“Namun, pada masa ini tiada petunjuk muktamad bahawa perbincangan tersebut akan menghasilkan sebarang cadangan korporat yang melibatkan syarikat,” katanya.

 

Artikek Berkaitan: Yinson berpotensi dinyahsenarai, nilai urus niaga dianggarkan RM8 bilion - Bloomberg

 

Menurut Yinson, sebarang perkembangan lanjut akan diumumkan selaras dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad sekiranya cadangan tersebut dimuktamadkan.

 

Sehubungan itu, syarikat menasihatkan para pemegang saham agar berhati-hati dan mendapatkan nasihat sewajarnya sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan melibatkan sahamnya. - DagangNews.com