KUALA LUMPUR 24 Mac - Sekumpulan pemegang saham dilaporkan hampir mencapai persetujuan untuk menswastakan Yinson Holdings Bhd dalam satu urus niaga yang bakal menilai syarikat infrastruktur tenaga itu sekitar RM8 bilion.
Agensi berita Bloomberg yang memetik sumber rapat engenai perkara itu, berkata keluarga Lim yang menubuhkan Yinson pada 1980-an dan merupakan pemegang saham terbesar, merancang untuk bergabung dengan Stonepeak Partners serta beberapa dana pencen tempatan yang juga pemegang saham sedia ada bagi mengemukakan tawaran bersama.
Perbincangan kini berada pada peringkat lanjutan dan pengumuman berhubung cadangan itu mungkin dibuat dalam tempoh beberapa minggu akan datang, kata sumber berkenaan, sambil menambah proses itu masih bersifat tertutup.
Kumpulan terbabit menyasarkan untuk mengambil alih syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia itu melalui kaedah skim pengaturan (scheme of arrangement) atau perjanjian yang diluluskan mahkamah, yang dilihat dapat meningkatkan kebarangkalian kejayaan urus niaga tersebut.
Bagaimanapun, perbincangan masih berlangsung dan tiada jaminan bahawa pihak-pihak terlibat akan meneruskan cadangan pengambilalihan itu.
Wakil keluarga Lim dan Stonepeak enggan mengulas, manakala Yinson tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen di luar waktu operasi.
Sebelum ini, Bloomberg melaporkan pada Jun lalu bahawa firma pelaburan berpangkalan di New York itu sedang bekerjasama dengan keluarga Lim bagi cadangan pengambilalihan Yinson.
Sehingga akhir Februari, keluarga Lim memiliki 27.7% kepentingan dalam Yinson, menurut laman web syarikat.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja memegang 17.1%, manakala Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) memiliki 7%.
Yinson pada asalnya merupakan syarikat pengangkutan dan logistik sebelum mempelbagaikan perniagaan ke dalam sektor infrastruktur tenaga, tenaga boleh baharu serta teknologi.
Setakat 19 Mac, harga saham syarikat itu susut kira-kira 3% tahun ini, memberikan nilai pasaran sekitar RM6.7 bilion. Bursa Malaysia ditutup pada 20 dan 23 Mac sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.








