Yinson catat lonjakan 66% untung bersih setelah cukai operasi di Belanda diselaraskan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yinson catat lonjakan 66% untung bersih setelah cukai operasi di Belanda diselaraskan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 Mei — Yinson Holdings Berhad melaporkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 66 peratus bagi tahun kewangan 2025 kepada RM1.2 bilion setelah menyelaraskan percukaian operasi luar pesisirnya di Belanda.


Kumpulan tersebut berkata, jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding RM752 juta dalam keputusan kewangan yang belum diaudit dengan peningkatan RM497 juta diperoleh selepas menilai semula kedudukan cukainya di luar negara.


Langkah berkenaan katanya, dilaksanakan syarikat itu susulan laporan akhir dikemukakan oleh seorang pakar cukai luar serta nasihat selanjutnya yang diterima daripada beberapa juruaudit dan perunding percukaian antarabangsa.


Pelarasan tersebut meliputi usaha menterbalikkan liabiliti cukai tertunda sebanyak AS$75 juta (kira-kira RM340 juta) dan mencatatkan semula pembayaran cukai AS$44.1 juta (kira-kira RM201 juta) sebagai boleh diperoleh semula.


Selain itu, Yinson menterbalikkan peruntukan cukai semasa sebanyak AS$14 juta (kira-kira RM62 juta) serta mengiktiraf AS$19 juta (kira-kira RM86 juta) dalam aset cukai tertunda daripada perbelanjaan faedah yang tidak digunakan.


Perubahan percukaian itu katanya, juga menambah baik kedudukan kunci kira-kira Yinson dengan meningkatkan cukai boleh diperoleh semula, mengurangkan liabiliti cukai dan menambah aset cukai yang direkodkan sebagai tertunda.


Yinson Offshore beroperasi di Belanda melalui anak syarikatnya, Yinson Production, iaitu operator utama yang memiliki serta membina banyak kapal besar dari jenis terapung pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO).


Ia turut mempunyai sembilan buah kapal FPSO yang dalam fasa pajakan dan operasi serta mampu untuk menjana pendapatan secara berulang dengan anggaran aliran tunai tahunan sebanyak AS$900 juta (kira-kira RM3.97 bilion).


Syarikat menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya satu projek FPSO setahun dengan setiap kapal jarak pertengahan itu bernilai antara AS$1 bilion (RM4.42 bilion) hingga AS$1.8 bilion (RM7.95 bilion). - DagangNews.com