XOX, MYIDSB jalin kerjasama perluas penggunaan MyDigital ID di institusi pengajian tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

XOX, MYIDSB jalin kerjasama perluas penggunaan MyDigital ID di institusi pengajian tinggi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 OktXOX Berhad menjalinkan kerjasama dengan My Digital ID Sdn Bhd (MYIDSB)  menggalakkan penerapan dan kesedaran pelajar terhadap MyDigital ID di institusi pengajian tinggi. 


Kumpulan itu berkata, ia dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, XOX Digital Sdn Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai XOX Media Sdn Bhd, menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU).


Langkah promosi penggunaan MyDigital ID ini katanya, akan digerakkan menerusi program MySiswa anjuran XOX sendiri dengan fokus MoU berkenaan turut meliputi beberapa teras utama kerjasama strategik.


"Kedua-dua pihak akan memperluaskan penggunaan MyDigital ID di institusi pengajian tinggi, selaras dengan agenda pendigitalan sektor pendidikan negara ini," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Selain itu, mereka bakal memperkenalkan MyDigital ID sebagai pemudah cara identiti digital nasional khususnya bagi segmen belia dan pelajar yang memiliki jangkauan kukuh menerusi platform XOX.


Pada masa sama kata XOX, MoU itu juga bakal menyaksikan pembangunan strategi komunikasi bersama termasuk kempen pemasaran, siri jelajah kampus, dan inisiatif libat urus di kesemua universiti.


Tambahan pula jelas kumpulan tersebut, MYIDSB merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan memainkan peranan utama dalam pelaksanaan sistem pengenalan digital negara.


"MoU ini akan berkuat kuasa selama dua tahun bermula 30 September 2025 hingga 29 September 2027, melainkan ditamatkan lebih awal atau digantikan dengan perjanjian selanjutnya," maklum XOX.


Kumpulan itu menjelaskan tiada kesan serta-merta secara material terhadap pendapatan sesaham, aset bersih sesaham mahupun kadar hutang kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026.


Ia tidak melibatkan sebarang pihak berkepentingan seperti pengarah atau pemegang saham utama, dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham kerana dilaksanakan dalam urusan biasa perniagaan.


Lembaga Pengarah XOX katanya, menyifatkan kerjasama dua pihak ini adalah selaras dengan aspirasi pendigitalan negara serta memberikan nilai strategik jangka panjang kepada kumpulan berkenaan.


"MoU ini boleh diperiksa oleh orang awam di pejabat berdaftar syarikat di Mont Kiara, Kuala Lumpur dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pengumuman bertarikh 30 September 2025," katanya. - DagangNews.com