XL kutip hasil RM35 juta bagi 4QFY26, meningkat 97% dipacu kos operasi lebih rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

XL kutip hasil RM35 juta bagi 4QFY26, meningkat 97% dipacu kos operasi lebih rendah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 JulaiXL Holdings Berhad berjaya mengutip hasil sebanyak RM35.39 juta bagi suku keempat berakhir 30 April 2026 (4QFY26), dengan mencatatkan lonjakan signifikan sebanyak 97.41%.

 

Prestasi itu lebih baik berbanding RM17.93 juta pada tempoh sama tahun lalu,didorong terutamanya oleh kos operasi yang rendah serta peningkatan dalam jumlah jualan sepanjang suku tersebut.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat turut melaporkan keuntungan bersih meningkat kepada RM3.56 juta bagi tiga bulan itu, daripada RM2.62 juta pada suku keempat tahun kewangan 2025.

 

"Pertumbuhan ketara ini dipacu oleh sumbangan kukuh antaranya menerusi segmen makanan, dengan hasil RM25.20 juta, bertambah daripada RM9.72 juta sebelumnya dipacu jualan tinggi," ujar XL.

 

Pendapatan segmen tanaman juga naik kepada RM5.86 juta daripada RM3.81 juta disebabkan peningkatan jualan nanas dan anak pokok, serta keuntungan nilai saksama aset biologi produk pertaniannya.

 

Sementara segmen-segmen lain pula jelas kumpulan tersebut, mencatatkan hasil yang melonjak kepada RM0.579 juta berbanding RM0.062 juta dengan dipacu oleh perniagaan penetasan diusahakan syarikat.

 

XL_DagangNews2026

 

Bagi tahun kewangan penuh berakhir 30 April 2026 (FY26), XL merekodkan jumlah pendapatan mencecah sebanyak RM129.08 juta, meningkat 18.29% daripada hanya RM109.12 juta pada tahun yang sebelumnya.

 

"Bagaimanapun, keuntungan bersih setahun penuh kumpulan ini mencatatkan sedikit penurunan kepada kira-kira RM9.51 juta berbanding sebanyak RM9.83 juta pada tahun kewangan 2025," jelasnya lagi.

 

Melihat ke hadapan, syarikat tersebut menyatakan keyakinan yang berhati-hati dengan mempelbagaikan lagi portfolio perniagaannya ke dalam pelbagai sektor peruncitan dan borong barangan runcit.

 

XL melalui anak syarikatnya, XL Retail Sdn Bhd, juga menyelesaikan pengambilalihan aset perniagaan daripada Jutaria Gemilang Sdn Bhd bernilai RM15 juta bagi mengendalikan cawangan Giant Mini.

 

Langkah strategik bermula 31 Mei 2026 itu diharap memperkukuhkan asas hasil syarikat melalui sinergi antara operasi runcit baharu dengan perniagaan perdagangan makanan sedia ada. - DagangNews.com