KUALA LUMPUR 2 Julai - Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah injunksi Mareva domestik bagi membekukan aset bernilai lebih RM14.04 juta milik kumpulan perladangan kelapa sawit East West One Consortium Bhd, East West Horizon Plantation Bhd, East West One Plantations Bhd serta tiga pengarahnya sementara menunggu penyelesaian saman yang difailkan oleh 80 pelabur.
Pesuruhjaya Kehakiman Adam Abdullah memutuskan aset sehingga RM14,041,072 dibekukan bagi memastikan aset yang mencukupi kekal berada di Malaysia sekiranya para pelabur berjaya dalam tindakan undang-undang tersebut.
Dalam penghakimannya, beliau berkata para pelabur telah mengemukakan "kes yang boleh dihujahkan dengan kukuh" berhubung dakwaan penyalahgunaan dana pelaburan, pecah amanah dan representasi mengelirukan.
Mahkamah turut mendapati wujud "risiko sebenar" bahawa aset boleh dipindahkan atau dilupuskan sebelum perbicaraan berlangsung, sekali gus mewajarkan pengeluaran perintah injunksi berkenaan, lapor FMT.
Di bawah perintah itu, tiga pengarah syarikat terbabit iaitu Jessie Tang, Samsul Wasni dan Tan Eng Heong hanya dibenarkan membelanjakan sehingga RM10,000 sebulan setiap seorang bagi menampung perbelanjaan sara hidup biasa, melainkan mendapat kebenaran lanjut daripada mahkamah.
Bagaimanapun, ketiga-tiga syarikat dibenarkan meneruskan operasi perniagaan seperti biasa termasuk menggunakan dana bagi membayar gaji pekerja dan kos penyelenggaraan ladang, dengan syarat semua pembayaran direkodkan dengan teratur.
Dalam keputusan berasingan pada hari sama, Mahkamah Tinggi turut mengeluarkan perintah pematuhan yang ketat selepas mendapati syarikat dan para pengarah gagal mengemukakan dokumen kewangan penting seperti yang diarahkan menerusi perintah penzahiran dokumen sebelum ini.
Walaupun mahkamah menolak permohonan pelabur untuk membatalkan pembelaan defendan, Adam menyifatkan arahan terbaharu itu sebagai "peluang terakhir" kepada syarikat dan pengarah terbabit untuk mematuhi kehendak mahkamah.
Beliau mengarahkan mereka memfailkan dalam tempoh 14 hari satu akaun bersumpah yang memperincikan semua dokumen yang dikehendaki di bawah perintah penzahiran dokumen bertarikh 18 Disember tahun lalu.
Sekiranya mana-mana dokumen didakwa telah disita oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dakwaan itu perlu disokong dengan keterangan bersumpah termasuk notis penyitaan atau senarai inventori.
Saman tersebut difailkan oleh 80 pelabur yang diketuai Tan Shoi Chew bagi mendapatkan semula modal pelaburan serta pulangan bulanan yang dijanjikan.
Mereka mendakwa telah dipengaruhi untuk melabur berdasarkan representasi palsu berhubung projek pembangunan ladang kelapa sawit dan unjuran hasil tanaman.
Peguam Manian K. Marappan mewakili kumpulan pelabur, manakala Mok Yan Yee bertindak bagi pihak syarikat dan tiga pengarah berkenaan. Perbicaraan penuh kes itu dijadualkan bermula pada 10 Ogos. - DagangNews.com








