Reservoir Link dilantik sebagai kontraktor panel PETRONAS bagi projek penilaian sumber CCUS selama lima tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Reservoir Link dilantik sebagai kontraktor panel PETRONAS bagi projek penilaian sumber CCUS selama lima tahun

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Julai – Reservoir Link Energy Bhd menerusi anak syarikat milik 60 peratusnya, Reservoir Link Solutions Sdn Bhd (RLS) dilantik oleh PETRONAS sebagai kontraktor panel bagi menyediakan perkhidmatan penilaian sumber bersepadu di bawah Pakej 2 yang meliputi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) serta pengurusan bahan cemar.

 

Pelantikan yang berkuat kuasa mulai 14 Mei 2026 itu adalah bagi tempoh lima tahun dan mengukuhkan lagi kehadiran Reservoir Link dalam segmen perkhidmatan teknikal bawah permukaan serta aktiviti berkaitan peralihan tenaga dalam sektor minyak dan gas.

 

Menerusi pelantikan itu, RLS akan menyertai proses bidaan kecil dan anugerah projek secara terus bagi projek penilaian sumber yang ditawarkan di bawah kontrak panel tersebut.

 

Skop perkhidmatan merangkumi pengurusan data, penilaian geologi dan geofizik, perancangan pembangunan bawah permukaan dan permukaan, analisis ekonomi serta penyediaan laporan teknikal.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif Reservoir Link Energy, Thien Chiet Chai berkata, pelantikan sebagai kontraktor panel Petronas bagi tempoh lima tahun itu mencerminkan keupayaan teknikal syarikat serta kepakaran yang semakin berkembang dalam perkhidmatan berkaitan CCUS.

 

Katanya, pelantikan tersebut turut mengukuhkan kedudukan Reservoir Link sebagai pemain utama dalam inisiatif peralihan tenaga di Malaysia.

 

"Kami kekal komited untuk menyediakan perkhidmatan penilaian sumber bersepadu yang berkualiti tinggi bagi menyokong aspirasi CCUS PETRONAS dan mewujudkan nilai mampan kepada pemegang kepentingan kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut beliau, Reservoir Link akan terus memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan penilaian sumber bersepadu yang berkualiti tinggi bagi menyokong aspirasi CCUS PETRONAS.

 

Pelantikan itu memperkukuh kedudukan Reservoir Link dalam perkhidmatan teknikal bawah permukaan dan aktiviti berkaitan peralihan tenaga dalam industri minyak dan gas. - DagangNews.com