KUALA LUMPUR 10 Mac — Wawasan Open University (WOU) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan TT Vision Technologies Sdn Bhd, Oppstar Technology Sdn Bhd dan Clarion (Malaysia) Sdn Bhd untuk meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor semikonduktor dan pembuatan di Malaysia.
Kerjasama itu menetapkan WOU sebagai rakan utama dalam pembangunan kemahiran bagi ketiga-tiga organisasi, bertujuan untuk melatih 200 profesional teknikal dan kejuruteraan dengan kemahiran kritikal yang diperlukan untuk berjaya dalam era Industri 4.0.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Naib Canselor WOU, Prof Dr Lily Chan dalam ucapannya menekankan pentingnya kerjasama antara industri dan akademia untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap profesional berkemahiran tinggi.
“Kerjasama ini menunjukkan bagaimana universiti dan industri boleh berganding bahu untuk menghadapi keperluan tenaga kerja yang terus berkembang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, dengan mengintegrasikan perspektif industri dalam kurikulum, pihak universiti sedang mempersiapkan golongan profesional untuk berjaya menghadapi cabaran global yang semakin pesat.
Kolaborasi itu juga selaras dengan inisiatif strategik Pulau Pinang untuk membangunkan tenaga kerja mahir dalam sektor teknologi tinggi seperti semikonduktor, automasi dan elektronik automotif.
Langkah berkenaan ujar Lily, turut seiring dengan siri program pembangunan bakat yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).

Sementara itu, WOU dalam kenyataan berkata, kerjasama tersebut akan menampilkan Sijil Profesional dan pentauliahan mikro atau micro-credentials yang disesuaikan dengan setiap industri terlibat.
WOU akan menyediakan TT Vision dengan pensijilan dalam Analitik Pembuatan yang Dikuasakan oleh Internet Benda (IoT), meliputi aspek utama seperti IoT, analitik data, dan integrasi robotik.
Pensijilan ini juga merangkumi 'micro-credentials' yang boleh digunakan sebagai laluan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik atau Pembuatan Pintar.
"Bersama Oppstar pula, WOU menawarkan Sijil Profesional dalam Reka Bentuk IC, yang memberi tumpuan kepada Reka Bentuk Litar CMOS, Litar Campuran, dan Reka Bentuk IC Digital," katanya dalam kenyataan itu.
Peserta juga jelasnya, berpeluang mengumpul kredit pembelajaran yang membolehkan mereka melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Sains Kejuruteraan Reka Bentuk Sistem di WOU.
Kolaborasi dengan Clarion Malaysia pula membuka peluang kepada pekerja melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah, seperti Sarjana Sains dalam Pembuatan Pintar dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dalam Pengeluaran & Pengurusan Pembuatan.
Usaha tersebut bertujuan untuk melengkapkan mereka dengan segala kemahiran teknikal yang mendalam serta kepimpinan yang kompetitif.
Kerjasama strategik dengan WOU jelas kenyataan itu, mendapat sambutan positif daripada rakan industri, yang melihatnya sebagai langkah penting untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif TT Vision, Goon Koon Yin berkata, inisiatif ini akan mempersiapkan pekerja menghadapi cabaran pembuatan pintar dan integrasi IoT, serta menawarkan pembangunan kerjaya yang signifikan.
Sementara itu, Pengarah Kejuruteraan OppStar Technology, Lee Chun Keat, menekankan usaha untuk memperkasakan kepakaran semikonduktor negara melalui kemahiran reka bentuk IC khusus, bagi mendorong inovasi dan meningkatkan daya saing.
Pengarah Lembaga Kumpulan Clarion Malaysia, Nicholas Tan pula berkata, kerjasama ini membuka peluang untuk memperluaskan program peningkatan kemahiran pekerja, khususnya dalam teknologi automotif, serta memacu inovasi dan kecekapan dalam menghadapi cabaran teknologi yang berkembang pesat.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian, yang turut hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis pemeteraian MoU tersebut, menekankan impak besar yang bakal dibawa menerusi inisiatif ini.
"Kerjasama ini memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai pusat teknologi tinggi dan sumber tenaga kerja terlatih, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negeri dan meningkatkan daya tarikannya sebagai destinasi utama pelaburan asing," ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa inisiatif ini selaras dengan Pelan Tindak Bakat STEM Malaysia dan Strategi Semikonduktor Negara (NSS), yang memainkan peranan penting dalam memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam sektor teknologi tinggi di peringkat global.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Gabenor WOU, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, dan Pengerusi WOU Sdn Bhd, Datuk Seri Stephen Yeap.
Turut hadir ialah wakil dari NCER, HRD Corp dan tetamu jemputan dari rakan industri yang turut sama menyokong kolaborasi ini.
WOU sedang giat bekerjasama dengan pelbagai syarikat dari berbagai sektor untuk memperluaskan inisiatif peningkatan kemahiran dan memperkukuhkan reputasi Pulau Pinang sebagai pusat inovasi dan kepakaran berteknologi tinggi.
Organisasi yang berminat untuk bekerjasama dengan WOU digalakkan untuk menghubungi WOU Academy di [email protected] atau layari www.wou.edu.my bagi mendapatkan butiran lanjut. - DagangNews.com








