Willowglen MSC menang kontrak selenggara sistem kawalan gas RM5.7 juta di Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Willowglen MSC menang kontrak selenggara sistem kawalan gas RM5.7 juta di Singapura

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 24 MacWillowglen MSC Berhad memperoleh kontrak baharu yang bernilai kira-kira RM5.67 juta daripada PowerGas Limited bagi kerja penyelenggaraan sistem kawalan gas di Singapura.


Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat perkhidmatan tersebut berkata, kontrak terkini berkenaan dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Willowglen Services Pte Ltd.


Jelas kumpulan itu, kontrak melibatkan penyelenggaraan komprehensif bagi Gas SCADA Remote Terminal Unit, dengan tempoh pelaksanaan selama lima tahun bermula 18 Mac 2026 hingga 17 Mac 2031.


"Kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan serta aset bersih sesaham bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2026 hingga 2031," kata Willowglen MSC.


Tambah kumpulan berkenaan, segala risiko berkaitan kontrak terbaharu itu adalah atas risiko biasa perniagaan syarikat dan tender tersebut turut tidak boleh diperbaharui selepas tamat tempoh,” katanya.


Selain itu, ia turut mengesahkan tiada pengarah atau pemegang saham utama syarikat yang ada sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak itu. - DagangNews.com