Westports, Tasco, FM Global kekal pilihan RHB Research bagi sektor pengangkutan tanpa dijejaskan isu Timur Tengah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Westports, Tasco, FM Global kekal pilihan RHB Research bagi sektor pengangkutan tanpa dijejaskan isu Timur Tengah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 Mac — Isu ketidaktentuan geopolitik global termasuk konflik di rantau Timur Tengah dilihat tidak memberi kesan yang besar kepada sektor pengangkutan tempatan, menurut RHB Research.


Tambah firma penyelidikan tersebut, perkembangan semasa itu dinilai sebagai tidak menjejaskan dan memberi kesan minimum kepada pengendali pelabuhan kontena utama seperti Westports Holdings Berhad.


Justeru, ia terus mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor pengangkutan, dengan menamakan Westports sebagai pilihan utama disokong oleh trajektori pertumbuhan pendapatan yang stabil.


"Ini didorong oleh beberapa faktor utama termasuk kenaikan tarif secara berperingkat, pertumbuhan volum kontena yang berkait rapat dengan ekonomi negara," kata RHB Research dalam notanya hari ini.


Volum kontena di Westports jelasnya, mempunyai kadar hubungan sekitar 0.89 dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, selain disokong oleh kestabilan perdagangan intra-Asia.


Bagi tahun kewangan 2025, operator itu merekodkan keuntungan bersih teras sebanyak RM1 bilion, meningkat 12.2% tahun ke tahun (YoY), selari dengan jangkaan firma itu dan konsensus pasaran.


Prestasi positif tersebut tambah RHB Research, dipacu oleh rekod volum kontena sebanyak 11.3 juta TEU, meningkat kira-kira 3.3%, selain faktor pelarasan kenaikan tarif sekitar 15% pada tahun lalu.


"Kami turut menjangkakan konflik di Asia Barat tidak memberi kesan ketara kepada operasi Westports memandangkan kargo konvensional hanya menyumbang 6.2% daripada hasil operasi FY25," katanya lagi.


Berdasarkan ujian sensitiviti, setiap kenaikan 10% kos bahan api diramal hanya mengurangkan hasil FY26 Westports sekitar 1%, yang boleh diimbangi jika aliran kargo dialihkan ke hab pelabuhan lain.


Keadaan itu jelas RHB Research, sekiranya Selat Hormuz terjejas, namun konflik tersebut diunjur tidak berlarutan selaras dengan pandangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sendiri.


Sementara itu tambah firma berkenaan, syarikat logistik seperti TASCO Berhad dan FM Global Logistics Holdings dilihat berpotensi mendapat manfaat jika kadar tambang penghantaran meningkat.


"Ini kerana kos bahan api kelazimannya dipindahkan terus kepada pelanggan melalui surcaj bahan api, manakala TASCO melaporkan pendapatan teras bagi tempoh 9MFY26 sebanyak RM30.2 juta," katanya.


Angka itu masih selari dengan unjuran kerana firma penyelidikan tersebut menjangkakan sebahagian perbelanjaan ibu pejabat sekitar RM5 juta setiap suku tahun akan pulih pada suku keempat FY26.


FM Global Logistics pula mencatat keuntungan teras kira-kira RM17.5 juta bagi 1HFY26, didorong margin operasi lebih tinggi 27.6% berbanding 25.6% sebelumnya serta kadar cukai efektif rendah.


Bagaimanapun, RHB Research menegaskan risiko penurunan sektor pengangkutan termasuk kelembapan berterusan pertumbuhan ekonomi global yang boleh menjejaskan rantaian aliran perdagangan.


"Selain itu, pemain sektor ini perlu berdepan dengan potensi kelemahan kadar tambang penghantaran jika pemulihan perdagangan global masih belum berlaku akibat kesan konflik," katanya. - DagangNews.com