KUALA LUMPUR 10 April – West River Berhad memperoleh satu subkontrak bernilai RM25.2 juta untuk kerja-kerja kejuruteraan elektrik melibatkan sebuah pusat data (DC) di satu tempat di Johor.
Kumpulan tersebut berkata, surat penganugerahan (LOA) tender berkenaan diraih anak syarikat milik penuhnya, West River Engineering Sdn Bhd (WRE) daripada satu kontraktor utama pada 10 April 2026.
WRE dilantik sebagai subkontraktor bagi melaksanakan skop kerja meliputi pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian, pentauliahan serta penyelenggaraan perkhidmatan elektrik untuk bangunan.
"Tempoh pelaksanaan projek pembangunan DC tersebut ditetapkan pihak kontraktor selama 82 hari sahaja dari tarikh mula kerja," kata West River dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kontrak tersebut adalah berdasarkan harga pukal tanpa pelarasan semula dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan yang akan datang.
Lembaga pengarah berpandangan perolehan projek itu selari dengan strategi pengembangan perniagaan syarikat, di samping mengukuhkan buku tempahan semasa serta keterlihatan pendapatan masa depan.
Selain itu, kontrak berkenaan menandakan langkah pertama West River untuk memasuki segmen DC, sejajar dengan pertumbuhan pesat industri berkenaan di Malaysia, khususnya di wilayah selatan.
"Di samping itu, tiada mana-mana pengarah atau pemegang saham utama dalam kontrak berkenaan, dan tender ini tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa," kata kumpulan tersebut.
West River memaklumkan projek itu akan dibiayai melalui dana dalaman atau pinjaman bank, dengan risiko terhad kepada risiko operasi biasa dalam industri pembinaan dan kejuruteraan. - DagangNews.com








