KUALA LUMPUR 5 Mac – West River Berhad melalui anak syarikatnya, West River Engineering Sdn. Bhd memperoleh kontrak bernilai RM11.28 juta untuk kerja perkhidmatan elektrik di projek Park Green, Pavilion Bukit Jalil.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, West River berkata kontrak itu merangkumi reka bentuk alternatif, bekalan, penghantaran, pemasangan, ujian serta penyediaan sistem elektrik untuk dua blok apartmen servis setinggi 47 tingkat dengan jumlah kediaman 453 unit.
“Projek ini terletak berhampiran Lebuhraya Bukit Jalil dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Julai 2028.
“Harga kontrak adalah tetap dan tidak berubah sepanjang tempoh projek, memastikan kestabilan kos bagi syarikat,” katanya dalam makluman tersebut.
Skop kerja ini adalah sebahagian daripada kontrak utama yang dianugerahkan kepada BUCG (M) Sdn. Bhd. oleh Regal Path Sdn. Bhd di mana West River Engineering bertanggungjawab menyediakan sistem elektrik dan kerja tambahan berkaitan.
Penganugerahan kontrak ini selaras dengan strategi syarikat untuk mengukuhkan segmen kejuruteraan mekanikal dan elektrik serta memperluas kehadiran dalam pasaran pembangunan bangunan tinggi di Lembah Klang.
Dengan kontrak ini, West River Berhad dijangka meningkatkan baki kontrak sedia ada, sekaligus memberi kejelasan pendapatan untuk beberapa tahun kewangan akan datang. Projek ini juga dijangka menyumbang positif kepada keuntungan syarikat.
Pengarah Urusan West River Berhad, Lim Yong Lai berkata pihaknya berbesar hati menerima kontrak untuk projek Park Green, Pavilion Bukit Jalil itu kerana ia akan mengukuhkan kedudukan Kumpulan sebagai rakan kejuruteraan yang dipercayai bagi projek pembangunan di Lembah Klang.
“Kontrak ini mencerminkan keyakinan pihak lain terhadap kepakaran teknikal syarikat, pengurusan kos yang cekap, dan kemampuan menyelesaikan projek dengan baik,” katanya.
West River Berhad melalui subsidiarinya terkenal sebagai penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik, sistem penghawa dingin dan pengudaraan, serta penyelesaian bangunan pintar. Syarikat menawarkan penyelesaian inovatif dan cekap tenaga bagi sektor kediaman, komersial, dan industri. - DagangNews.com








